"Mana budak-budak tu pergi?"
"Siti Nazirah ada di dalam. Kakaknya ke rumah Anum, katanya mahu belajar bersama. Periksa kan dah dekat," Masitha hanya melihat suaminya menghirup kopi panas dari cawan. Bibir Musa yang terjuih ke hadapan itu menggelikan hatinya.
“Berapa kali aku dah cakap, jangan lepaskan anak-anak keluar malam. Sekarang banyak kes-kes yang menggerunkan berlaku. Kasihan. Jangan sampai anak kita jadi mangsa,”
“Hmm, beriya benar Siti Munirah tu, bang. Bukannya tidak dilarang, ada. Tapi katanya perjumpaan itu penting,”
“Sudah makankah dia sebelum pergi?”
“Belum. Dah terhidang nasi di atas meja. Tak juga disentuhnya. Katanya tidak mahu lewat,”
Jawapan isterinya itu menyebabkan Musa mendengus. Pantang sungguh dia apabila anak isterinya makan di rumah orang lain. Apa di rumah sendiri tiada makanan?
“Budak itu… keras hati! Kenapa susah sangat Siti Munirah hendak mendengar kata?”
Tiba-tiba kedengaran laungan memanggil emak dari dalam rumah. Masitha memandang wajah suaminya.
“Kenapa lagi dengan Siti Nazirah tu? Ha, itulah kamu. Dah banyak kali aku larang, jangan bagi muka sangat kepada Siti Nazirah tu. Nanti kepala kamu dipijaknya. Silap hari bulan, dengan kepala aku sekali yang dipijaknya,” leter Musa. Hilang nafsunya untuk menikmati kopi panas yang pekat itu lagi.
“Dia budak lagilah, bang. Janganlah bertegas sangat,”
“Itulah kamu. Menangkan lagi budak-budak tu. Tengok Siti Munirah tu. Ada hendaknya mendengar cakap kamu?”
Masitha bangkit dari tempat duduknya. Malas mahu melayan leteran suaminya. Musa memang tegas. Masitha sudah masak benar dengan perangai suaminya itu. Bukan setakat kepada anak-anak, dengannya pun Musa berkeras.
Musa masih melayan perasaan. Ketenangannya yang direnggut sebentar tadi dikejarnya semula. Nyamuk-nyamuk yang mengunyah isi daging betis tuanya hanya dipandang. Terasa malas pula mahu menghulurkan tangan dan menampar pencuri kecil itu. Kelihatan perut kecil itu sudah bunting darah. Musa menghalaunya dengan hujung jari telunjuk. Namun, sayapnya tidak terangkat dengan beban isi perutnya.
Ketika Musa sedang leka bermain dengan nyamuk bunting akan darahnya itu, jeritan isterinya pula kedengaran. Musa tersentak. Terkejut. Kenapa pula anak-beranak ini menjerit-jerit macam orang sawan? Sakit betul hatinya.
“Abang!!!”
“Iya, iya, aku datang!” laung Musa dalam geram. Dia bangkit dengan payah. Kaki kanannya yang telah mati itu diseretnya gagah.
“Kenapa ni?!” tanya Musa melulu setelah sampai ke tengah rumah. Dicarinya Masitha namun tiada di situ. Di mana mereka anak beranak ni?
Musa ke depan pula. Di lihatnya Masitha sedang memeluk Siti Munirah. Anak-beranak itu duduk berlantaikan tanah. Siti Nazirah ada di tangga. Hanya terkebil-kebil memandang. Musa kehairanan. Kemudian, dia mendengar bisikan di telinganya. Seperti angin namun kali ini dia dapat menangkap suara itu dengan jelas.
Tidak tahu dari mana kekuatan itu datang, Musa terjun ke bawah. Kakinya yang tempang itu tidak langsung menganggu langkahnya. Mata Musa menyala. Hidung Musa mendengus nafas keras dan panas. Dia mendekati Masitha. Dilihatnya keadaan Siti Munirah yang kusut masai. Sah! Itu yang dijeritnya dalam hati.
Lengan Siti Munirah disentapnya kuat. Masitha terpelanting. Dia tahu kemarahan Musa. Ketika marah, Musa bukan suaminya. Juga bukan ayah kepada anak-anaknya. Musa adalah Musa. Seperti dirasuk.
“Abang, jangan, bang...” rayu Masitha cuba merebut Siti Munira kembali ke dalam pelukannya. Dia kasihan mendengar tangisan anaknya itu. Hati keibuannya mahu melindungi Siti Munirah.
“Apa yang sudah kau perbuat kepada diri kau?!” tanya Musa, bagai halilintar membelah kesepian malam. Siti Munirah menjawab pertanyaan itu dengan esak tangisnya. Dia kelu.
“Kenapa dengan kau?! Cakap!” Musa terus mendesak. Teriakkan Musa itu menyebabkan jiran tetangga berdekatan keluar meninjau dari tingkap masing-masing. Mereka tertanya-tanya. Kenapa? Ada apa ni?
“Abang, cukuplah tu…” Masitha memegang kaki suaminya. Sia-sia sahaja kerana Musa menyepaknya juga.
“Kau diam.” Ucap Musa.
“Bang, jangan. Malu jiran-jiran tengok…” Masitha merendahkan nada suaranya. Dia bangun. Kali ini dia memegang lengan suaminya itu. Tangannya mengurut dada Musa yang turun naik.
“Siti Munirah, ayah tanya. Siapa buat kat engkau ni?” sedaya upaya Musa mengawal nada suaranya. Beberapa orang jiran tetangga sudah menapak di sekitar rumah. Mereka berbisik sesama sendiri. Anak Musa dibaham buaya liar!
“Nirah tak kenal, ayah. Tak tahu...” jawab Siti Munirah tersekat-sekat. Perutnya memulas. Sakit yang terasa menusuk-nusuk. Dia malu. Dia kasihan akan dirinya.
“Kenapa tidak kau bunuh saja aku?! Daripada aku terpaksa menjawab dan menghadapi saat yang memalukan seperti ini… dasar binatang!” monolognya sendiri dalam hati.
“Bagaimana kau boleh tidak tahu?!” marah Musa mengemuncak semula. Satu tamparan singgah mengenai pipi kanan Siti Munirah. Anaknya itu terpelanting.
Kali ini Masitha hanya mampu memandang. Siti Nazirah dipeluknya erat.
“Berapa kali aku dah cakap, jangan keluar malam. Jangan! Tengok? Apa yang kau dapat? Ini!! Kau bagi malu kepada aku!”
“Maafkan Nirah, ayah…”
No comments:
Post a Comment