BERUS GIGI


    Aku sedang meletak ubat gigi pada berus gigi ketika kisah itu terkarang pantas dalam helai-helai mindaku. Aku merenung muka sendiri di dalam cermin. Alangkah bagusnya jika kisah yang terkarang itu terpancul sendiri menjadi helai-helai kertas pula dengan ceritanya sudah tertaip kemas tanpa perlu jari-jemari aku melakukannya. Kerana sudah tabiatku yang memang suka berfikir dan kuat menaakul, tetapi malas menzahirkannya dalam ucap kataku, apatah lagi mahu menzahirkannya dengan pena. Segala-galanya kubiarkan berlegar di awang akal, dan kemudian aku akan melupakannya.

    Oleh itu, aku beranggapan tidak perlulah menzahirkan kebanyakkan buah renungan itu, cukuplah sekadar aku boleh berbangga jika berjaya menzahirkannya dan coretan ringkas seperti ini :

    Sudah lebih setahun aku membiarkan berus gigi itu bergandingan. Elok sahaja paras rupanya. Mungkin kerana hanya digunakan sekali-sekala. Berbanding dengan berus gigiku yang sudah berganti buat kali keempat, berus gigi yang kupanggil ‘si ungu’ itu tetap juga anggun di situ.

    Namun satu kepelikkan luar biasa berlaku awal pagi itu. Tanganku pantas mengambil Si Ungu lalu membuangnya ke dalam tong sampah bilik mandi. Nasib baik aku tidak mampu mendengar rintihan atau apa juga yang mungkin Si Ungu perkatakan  kerana membuangnya. Aku mendengus mengenang nasib Si Ungu. Kemudian, aku meneruskan kerja membersihkan diri.

    Seminggu selepas itu, Gadis (kekasih aku) datang berziarah meluangkan masa bercinta denganku setelah agak lama tidak bertemu. Katanya sangat rindu dan aku mempercayai katanya sejujurnya. Malam itu ketika Gadis mahu menyegarkan diri dari segala kepenatan dan kekotoran debu seharian, dia marah-marah.

    “Sayang! Mana berus gigi?”

    Aku tidak terus menjawab. Aku mengingat semula rupa paras Si Ungu. Aku membelinya buat kegunaan dan kemudahan Gadis, maka tiap kali dia datang ke tempatku tidak perlulah dia menyusahkan dirinya membawa keremehan itu bersama.

    “Sayang? Aku menunggu jawapan kamu... mana berus gigiku?” Gadis masih dengan nada marahnya.

    Kebelakangan Gadis memang mengemuncak marahnya. Itu dan ini semua menjadi api yang membakar sumbu pelita perasaannya. Aku kerimasan, terkadang aku menelan segala-galanya dalam kesabaran. Mungkin perasaannya kacau.

    “Sudah aku buang," jawabku ringkas, sambil berdiri di hadapan pintu bilik mandi yang terbuka sedikit itu. Susuk tubuh Gadis kutatap sejenak, sebelum wajah merah padamnya menyengat pandanganku.

    “Kenapa dibuang? Kalau dibuang, kenapa tak beli yang baru? Kan kamu tahu aku akan datang. Paling tidak, beritahulah. Aku bawa dari rumah.”

    Aku cuba berlagak tenang sedangkan dalam hatiku bergelora. Seboleh-bolehnya aku enggan memuntahkan kegilaan itu, takut kegilaan itu merasuk lalu membunuhku pula.

    “Aku buang sebab tiba-tiba pagi ini aku lihat berus gigi itu berlumut dan helai-helai berusnya penuh kekotoran,"

    “Kenapa tak beli yang baru?” Gadis masih merenung mataku.

    “Bukan mudah nak beli yang baru atau kata lainnya cari pengganti sesuatu yang telah aku dapatkan atas rasa cinta dan sayang. Sebab aku rasa tidak akan pernah ada yang sama atau seumpamanya. Jadi untuk cari yang baru mungkin payah, memakan masa. Aku seorang yang setia terhadap apa yang aku paling cintai, sungguhpun atas harta benda, apatah lagi yang bersangkutan dengan urusan hati.”

    Gadis menelan jawapan-jawapanku dengan dahi yang berkerut. Mungkin jawapanku terlalu panjang untuk soalan ringkasnya.

    “Jadi... macam mana aku nak memberus gigi sekarang?” tanyanya.

    “Kamu masih memiliki aku. Semua milik aku adalah milik kamu juga. Tak ada istilah berkongsi, dan jangan pernah tanya atau minta izin, gunakan dan hargai apa yang kamu miliki selagi kamu masih memilikinya. Aku tidak punya apa-apa yang tinggal pada diriku. Tiada apa-apa yang bisaku tokok dan tiada apa-apa juga yang bisaku hilangkan. Aku Cuma punya kamu," aku berhenti sejenak menyusun kata seterusnya.

    "Kalau nanti aku kehilangan kamu, nasibku sama dengan Si Ungu. Kamu datang saat kamu terasa kamu rindu dan perlu aku, dan pergi tanpa menoleh setelah kamu kepuasan. Akhirnya hatiku akan berkudis di sini. Menunggu kamu datang merindui aku sekali lagi.”

    Masih terlalu panjang jawapan itu. Namun Gadis telah mencerna kata-kataku dengan mendalam. Dia menerpa lalu mendakapku erat. Aku membalas dakapannya. 

    “Aku cuma mencari berus gigi. Tapi kamu meluahkan perasaan. Kamu gila.”

    “Aku menggilai kamu, gila kerana kamu juga,”

    Gadis terkenang semua kelakuan dan kecurangan yang disimpannya rapi, rupa-rupanya sudah terhidu oleh buah hati itu. Menyesal rasanya. Dia tahu bahagia dirasa itu tak ada di mana-mana lagi. Kini mata hatinya terbuka luas.

    “Sayang... maafkan aku atas segala-galanya,”

    Aku mengucup dahi gadisku lama-lama. Rasa curiga dan kerimasan itu merangkak pergi dariku.

 

Share:

No comments:

Post a Comment

VISITORS

ABOUT US

ABOUT US
Please, allow me to show you something. Wrote you a letter, Now that I'm here without you. Hope that you're better, Hope that you found someone new 'Cause I'm getting older, Know that I've changed And I can't go back now. Nothing's the same But I won't forget how You called my name When I was afraid, And now I'm afraid. Will you remember me? Will you remember the way that I was? Will you remember me? Will you remember the way that you felt when you're next to me? Will you remember? Do you remember me? Do you remember? Will you remember me?

MY MUSIC

Recent Posts

Labels

Unordered List