• ROJAK KATA

    Jika dunia ini bulat, tak salah untuk mimpikan kotak segi empat.

  • HARUS BAGAIMANA LAGI AKU?

    Aku dan engkau, berdiri di dua hujung satu garisan berliku. Jarak yang terlalu jauh hendakku berjalan, namun terlalu dekat untukku berlari.

  • MALAM DAN ENGKAU DAN AKU

    Aku mencongak waktu yang pergi, membawa aku datang kepada engkau, bila malam semakin jauh.

  • SENDIRI DAN SEPI

    Duduk sendiri jarang berjaya menghadirkan rasa sepi dalam hati. Malah, sendiri mendatangkan tenang dan aku senang dengan ketenangan itu.

  • BAYANG GELAP

    Dia tetap jatuh bangun bersama aku, tetap berjalan dan berlari bersama, tetap pegun melihat aku ketawa, tetap juga pegun melihat aku menangis.

MENDEKA! MENDEKA!

Cuti umum, Hari Kebangsaan.

31 Ogos 1995

    Sudah hampir setahun  emak membawa kami adik-beradik berpindah keluar dari rumah pusaka nenek. Rumah ini masih begini. Berdinding hanya sebahagian, sebahagian lagi masih telanjang. Papan lantai hanya diletak memanjang tanpa dipakukan, bertindih-tindih. Bau papan basah selepas kehujanan semalaman menyebabkan aku tersenyum-senyum pagi itu. Sepatutnya jam-jam begitu aku dan Adnan sudah berada di sekolah, pastinya aku sedang menahan sakitnya punggung dek terhimpit antara temulang dan bangku kayu usang yang keras. 

    Habuk-habuk kapur yang berterbangan di udara setiap kali cikgu Abang Aheng menggoyangkan tangannya ke kiri dan kanan di hadapan kelas tidak langsung dirindui. Apatah lagi jeritan cikgu Hasnah yang selalu menyebabkan orang yang mendengarnya mengurut dada. Aku sudah lama berpendapat yang cikgu Hasnah patut sedar bahawa tidak semua orang mengalami masalah pendengaran atau pekak seperti anak perempuannya. Dia tidak perlu menjerit seperti itu kepada semua orang setiap masa.

    Pagi-pagi lagi, emak sudah turun ke tanah. Beberapa biji cili merah dipetik dimasukkan ke dalam bakul kecil yang dibawa. Jarinya pantas mematah-matahkan pucuk kangkung yang tumbuh menjalar di tebing parit kecil yang digalinya sendiri setiap bulan sejak tahun lepas. Tumbuh subur semua tanaman di tebing parit itu. Kangkung, terung, cekur, bendi. Betik, jambu, keladi, dan serai. Emak bercekak pinggang sambil mengesat peluh yang mengalir di dahi dengan hujung lengan baju yang dipakai. 

    “Jah! Oo Jah! Aku ambik daun pisang dua bilah, ya?”

    “Ambiklah, kau. Hati-hati. Itu hari bang Mat terpijak paku di perdu pokok tu,”

    “Iya… terima kasih, Jah!”

    Tidak kedengaran lagi sahutan. Emak melangkah parit setengah meter lebar itu seperti kilat. Sekejap sahaja, dua bilah daun pisang itu sudah dibawa naik ke tangga. Sebelum itu, emak mencuci kaki dahulu. 

    “Mak, nak masak apa mak dengan daun pisang tu?” Adnan bertanya ingin tahu. Emak tak menyahut. Sebaliknya, dia terus meraut daun pisang itu dari tangkainya. Hujung tangkai itu dibiarkan berdaun sedikit, sengaja emak bentukkan manjadi segi tiga. Satu diberinya kepada Adnan, satu lagi diberinya kepada aku. 

    “Bendera. Pegi main kat depan. Tengok Aziz. Mak nak masak pais ikan bulu,”

    Aku lihat Adnan sudah berlari ke hadapan dengan bendera daun pisangnya.

    “Mendeka! Mendeka!”  Jeritnya berkali-kali. Lariannya diteruskan di kawasan papan basah yang lembut dan tipis. Adnan meniti papan itu tanpa perasaan risau. Setelah puas berlari-lari di kawasan segi empat berpapan itu, Adnan mengajak aku. Ternyata belum cukup laungan “mendeka” dan larian bersemangatnya walau belakang bajunya sudah lenjun.

    “Cepat, kak! Ikut Nan. Mendeka! Mendeka!”

    Aku sedikit gusar. Ada rasa tak nyaman menerpa saat itu. Aku membayangkan kaki aku terpijak papan lembut itu, papan itu langsung melendut dan patah dua ditengahnya. Aku jatuh terhempas ke atas permukaan tanah yang keras dan berbonggol dengan gunung-gunung kecil binaan ketam batu.

    “Bang Nan, aku pun nak ikut!”

    “Aziz, jangan!”

    “Aku nak ikut jugak!”

    “Aziizzz!!”

    Ketika aku terbangun dari lamunan dan bayangan nasib malang aku, aku nampak Aziz sudah tertiarap di bawah kolong rumah. Dia seperti menangis, meneran, tetapi tiada suara dan bunyi yang terkeluar dari mulutnya. Dia memegang pinggang seperti dia sedang derita rasa sakit yang teramat.

    “Bunyi apa tu Nan?! Ya Allah, Aziz!” Emak melaung apabila melihat tubuh kecil Aziz melengkung di bawah kolong. Mendengar jeritan emak, barulah aku sedar yang Aziz telah terjatuh ke bawah kolong kerana terpijak papan lembut basah itu.

    “Aku suruh korang buat apa tadi, hah?!”

    Sebelum turun menyelamatkan Aziz, emak pantas merebut tangkai pisang dari tangan aku. Seperti orang dirasuk, dia terus memukul aku dan Adnan silih berganti. Hancur tangkai itu, tangkai di tangan Adnan pula dirampasnya. Adnan meraung kesakitan dan terlompat-lompat cuba mengelak libasan emak, tapi emak sudah menangkap lengan kirinya. 

    “Mak, dah mak! Mati aku mak! Mak, jangan pukul mak!” 

    “Aku suruh kau jaga adik kau!”

    Kemudian, libasan mak beralih ke belakang aku lagi. Aku tak meraung seperti Adnan. Entah… aku malu didengar jiran-jiran. Anak Mak Jah, Wahab, sekelas dengan aku. Walaupun kami tidak banyak bercakap, aku tetap malu kepadanya. 

    Emak turun ke bawah kolong lalu meraup jasad Aziz yang tidak boleh bergerak ke atas pangkunya dengan berhati-hati. Aziz meraung-raung apabila emak menekan-nekan kawasan pinggangnya. Aku dan Adnan melihat dari atas, melihat Aziz yang meraung kesakitan. Aku menoleh ke arah Adnan. Dia sudah berhenti menangis. Rasa simpati aku terhadap kami berdua ketika itu meluap-luap. Ingin saja aku peluk dan pujuk Adnan selayaknya seorang kakak kepada adik. Namun, aku telan sahaja rasa sebak itu apabila melihat senyum kecil terukir di hujung bibir Adnan. Malah, aku lihat dia sengaja menggosokkan ibu jari kanan ke hidungnya berkali-kali sambil menjelirkan lidah kepada Aziz.

    “Padan muka,” katanya separuh berbisik.

    Seperti mengerti dan dapat mendengar bisikan itu, raungan Aziz semakin kuat kerana dia tahu Adnan mengejeknya. Emak jadi naik berang. Punggung Aziz yang kotor bertanah itu terus ditepuknya kuat.

    “ Kau ni pun satu!”

    Emak meninggalkan aku di rumah menjaga Azizah yang sedang tidur di dalam buai. Adnan disuruhnya mengikut dia membawa Aziz ke rumah Neh Sah. Kata orang, Nek Sah pakar mengubat dan mengurut orang. Yang seliuh, patah, riuk, Nek Sah boleh merawatnya. Aku sebal. Pais ikan mak sudah hangus. Maka tiadalah lauk yang sedap untuk makan tengah hari ini. Pais ikan hangus itu tetap akan disantap kerana itulah satu-satunya pilihan yang ada. 

    Aku memerhati dinding rumah yang diperbuat daripada atap daun rumbia. Ada bahagian yang sudah berlubang kecil dan boleh diterobos oleh angin. Itu pasti kerjanya Adnan. Di situlah dia meletakkan lubang hidungnya, konon-konon menyedut udara nyaman dari luar rumah. Jika hujan lebat dan berangin kencang pula, lubang itu pasti akan mendatangkan masalah. Aku mencarik daun pada bahagian lain untuk menutup lubang itu. Kalau emak tahu, pasti hinggap lagi penyapu lidi ke belakang aku dan Adnan, meninggalkan bekas memar yang panjang kemerahan, berbirat dan terasa sungguh pedih saat terkena air apatah lagi bila bergesel dengan pakaian.

    Tidak lama selepas itu, bebelan emak sampai dahulu sebelum aku dapat melihat tiga beranak itu naik ke tangga rumah. Adnan berjalan lambat-lambat di belakang. Mukanya sugul. Pasti dia kena marah atau kerana sudah ada bekas pulasan di perutnya. Aziz tidak lagi meraung dan hanya diam dalam dukungan emak. Pinggangnya berbalut dengan kain batik coklat berbunga pudar. Ada daun sirih yang disusun mengelilingi pinggangnya lalu diikat dengan kain batik itu.

    “Nasib tak patah pinggang kau,” bebel emak. Aziz diletakkan berhati-hati ke atas tilam nipis yang sudah aku bentangkan.

    “Kau nak main berlari di luar tu lagi, Aziz?” Tanya emak. Aziz menggeleng laju. Sumpah, dia serik. Sakitnya jatuh itu bukan kepalang. Rasa senak menyebabkan dia tak boleh bernafas sejenak. 

    “Baru nampak jarum banyak dalam botol minyak Nek Sah, kau dah merangkak sampai lupa pinggang kau sakit ya, Aziz? Padan muka kau kena ludah pinang dengan orang tua tu. Kau nak lagi?!”

    Aziz menangis hingga tertidur.

    Aneh, hanya dengan lauk picisan seperti itupun, aku dan Adnan masih dapat makan dengan berselera. Emak tidak lagi marah-marah. Dia megusap-ngusap belakang Adnan dengan lembut, birat-birat yang kelihatan kemerahan pada lengan kecil itu pula disentuhnya perlahan, seperti sungguh berat, sungguh penuh penyesalan. Aku melihat melihat semua itu. Aku memahaminya. Walau Adnan tak peduli dan tak sedar, aku sedar akan semuanya.

    Selepas makan tengah hari dengan lauk seadanya, aku menolong emak membasuh pinggan seperti biasa. Ketika itulah, emak datang ke belakang aku. Tangannya terasa sungguh lembut mengusap belakang aku yang pastinya berbirat dan berbekas oleh kerja tangannya juga. Kemudian, emak menyentuh bahu aku.

    “Cepat basuh pinggan. Nanti mak sapu ubat,” emak berlalu meninggalkan aku. 

    Aku masih terlalu kecil. Pada usia 8 tahun, aku sudah mengerti terlalu banyak perkara tentang hidup. Beban berat yang aku tanggung sejak pagi akhirnya aku lepaskan. Aku menangis teresak-esak di atas lantai basah itu memeluk lutut, mencari nyaman. 

    

    

Share:

SUATU PAGI PADA TAHUN 1995

 


Jeritan adik dari dalam bilik mandi segera menyegarkan mata aku yang masih mengantuk. Begitulah, adik memang banyak dramanya pada waktu pagi. Kesejukan air paip terasa hingga ke tulang. Kalau hujan, emak akan jerangkan air panas sekadar cukup untuk menyuamkan air mandian adik. Kami yang besar ini mandilah sahaja menggunakan air dingin di dalam kolah.


Emak menyediakan teh hangat. Hanya itu. Hanya itu yang dia dapat sediakan untuk mengisi perut anak-anaknya pagi itu. Kami berempat tidak membantah. Menghirup teh hangat dengan asap berkepul-kepul seperti itu sudah menjadi kebiasaan. Kalau emak ada rezeki lebih, adalah cucur tepung kosong yang emak goreng di atas meja berganding dengan teh hangat itu. Kadang-kadang, adunan tepung cucur itu mak campurkan sedikit ajinomoto dan garam, kadang-kadang kosong sahaja dan kami akan mencecahnya dengan gula. 


Bedak sakura bertompok-tompok memutih pada dahi adik yang berkeringat. Rambutnya yang berkilat tersikat rapi ke pinggir dengan belahan jelas mendedahkan kulit kepalanya. Mereka berdua itu segak dan kemas setiap pagi, walau tiada siapapun yang mahu memberitahu tentang rambut mereka yang bertakuk-takak. Asalkan kemas, segak. Itu kata emak. Dialah yang memotong rambut budak berdua itu mengikut seleranya. 


Si abang, Adnan namanya, berdiri di depan pintu menunggu aku. Usianya 7 tahun. Aku pula 8 tahun. Kami berdua bersekolah di sekolah rendah kampung, perlu berjalan kaki sejauh 2 kilometer untuk sampai ke sana setiap hari. Dia melambaikan tangan supaya aku bergerak lebih cepat.


“Cepat, kak! Nan kena sapu kelas pagi ni,” katanya.


Aku mengeluh. Teh panas yang kian sejuk kuhirup sekaligus. Beg sekolah semua sudah tersedia di depan pintu. Malam tadi sebelum tidur kami sudah menyusunnya di situ. Begitulah ajaran emak. 


"Kak, nanti beli gula getah!" laung Aziz sambil melambaikan tangan kecilnya.  Adnan sudah menapak meninggalkan tangga rumah. Kami melambainya dari jauh. Tiada janji yang aku berikan kepadanya. Kemudian, Azizah muncul. Dia menggendong bantal busuk sambil tangan kecilnya ikut melambai-lambai. 


Sejak naik darjah satu, Adnan tidak mahu lagi berjalan berpimpin tangan. Malu, katanya. Dia dah besar. Giliran dia pula memimpin tangan adik-adik. Aku hanya mengikut kemahuannya dan berjalan diam-diam di sebelah. Bukan hanya kami yang berjalan kaki menuju ke sekolah. Suara budak-budak sekolah rendah itu riuh memenuhi halwa pagi. Ada yang berjalan ditemani oleh ibu, ada yang membonceng di belakang motorsikal yang membelah keramaian itu. 


Beberapa ekor angsa milik orang kampung Tengah memekik bagai menyahut suara riuh dari bawah kolong rumah-rumah yang kami lintasi. Angsa itu muncul semakin banyak, 12 ekor semuanya. Adnan membesarkan langkah kaki dan memaksa aku mengikut separa berlari.


“Cepat, kak. Angsa ni kejar orang,” katanya, lalu berlari-lari anak mendekati kumpulan budak yang berjalan di hadapan. Melihat Adnan berlari, budak-budak itu pun ikut berlari. Mata mereka meliar mencari angsa-angsa besar itu. Aku akhirnya mengambil keputusan untuk berjalan saja. Aku lihat, angsa-angsa itu tidak berganjak dari bawah kolong. Mereka hanya berdiri mengawasi keadaan, bersedia untuk mengejar dan menyerang sesiapa sahaja yang dianggap mengancam kemananan kawanan itu.


Memasuki pekarangan sekolah, kami disambut oleh cikgu Bahar yang menyapa setiap orang dengan senyum lebar. Dia memegang sebatang pembaris kayu semeter yang dibawanya ke hulu ke hilir setiap hari. Selalunya, pembaris itu digunakan untuk melukis pada papan hijau ketika dia mengajar mata pelajaran seni. Kadang-kadang, hinggap juga batang pembaris itu pada bontot murid yang nakal kerana cikgu Bahar juga bertugas sebagai cikgu disiplin. Kesan kapur berwarna akan terlekat membirat pada seluar biru tua yang dipakai. Putih, hijau, biru, kuning, merah.


Adnan terus hilang di blok kelasnya setelah bersalam dan mencium tangan aku. Kami berpisah di persimpangan antara tapak perhimpunan dan surau. Kelas 2 Melati berada di hujung blok 2. Untuk sampai di sana, aku perlu melalui kelas 3 Teratai. Dalam kelas itu, ada kak Hamidah. Kak Hamidah anak kepada Pak Ngah. Orangnya tak banyak bercakap bila berjumpa. Dan aku pun tidak terlalu mahu berbual dengannya. 


“Hoi, jom pegi kelas,”


Ismail, salah seorang murid lelaki dalam kelas aku menyapa sambil menepuk beg galas aku. Mukanya kecinaan seperti bapanya. Rambutnya berkilat, disikat terbelah bak dua buah gunung di banjaran. Bila tersenyum, lesung pipit melekuk dalam pada kedua-dua pipinya. Aku mengeluh. Aku melihat dia biasa-biasa sahaja. Tapi murid perempuan di sekolah ini menganggap Ismail sebagai jejaka pujaan. Di mana Ismail berdiri, di situ pasti ada yang akan mengikutinya.


“Waalaikumussalam, pak cik. Ayuh,”


Ismail ketawa mendengar jawapan itu. Nasib baik ada Ismail, kelas kak Hamidah dapat aku harungi dengan tenang. 



Share:

IBU, TOLONGLAH!

 


    "Ibu tolonglah!"

Dengan permintaan itu, perempuan berusia setengah abad itu melangkah masuk semula. Hatinya geram namun demi anak lelaki yang seorang itu, ditebalkan juga mukanya. Teragak-agak, dia mundar-mandir di hadapan sederet rak yang sarat dengan muatan jajan dan coklat yang tidak pernah dijamah giginya. Dia pura-pura membelek dan membaca. Dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu. Ingin saja dipulasnya perut Shahirul. Melepaskan geram. Kenapa dia mesti melakukan semua ini?

Kerana Shahirul memanggilnya "ibu". Hanya kerana itu.

Dia beratur panjang. Seperti ulat yang gelisah, begitulah gaya orang-orang yang berdiri dalam barisan bengkang-bengkok, di hadapan mahupun di belakangnya. Dua, tiga, empat... dia mengira-ngira dalam hati. Masih terlalu ramai orang di hadapannya. Dia berpeluh dalam hawa dingin. Sabar... Hajat Shahirul perlu disampaikan. Kalau tidak sampai, merajuk anak bertuah itu membuang pinggan, membuang air mata.

Siti Ruminah mengatur skrip dan dialog. Gilirannya akan sampai sekejap lagi. Tersenyum-senyum dia kepada orang-orang sekeliling. Tiada siapa membalas kerana dia saja-saja mahu senyum-senyum. Tinggal lagi seorang perempuan Cina di hadapannya. Hatinya tersembur-sembur rasa debar.

    "Assalamualaikum, selamat petang..."

    "Wa..wa..." salam... sambung Siti Ruminah dalam hati. Entah kenapa dia tergagap-gagap. Termalu dia sendiri. Muka kasihan Shahirul bermain di matanya.

    "Eh, rasanya mak cik dah datang tadi. Tertinggal barang?"

    "Ya, ya..." jawab Siti Ruminah, masih tergagap-gagap lalu meletakkan beberapa bungkus jajan yang tidak langsung hendak dimakannya ke atas kaunter.

    "Ini sahaja?" gadis itu hanya berniat mahu menyakat. Namun, Siti Ruminah bijak mencucuk hajatnya ke celah-celah gurauan itu.

    "Tak. Mak cik ada hajat lain. Tapi susah nak bercakap di sini. kamu pun tengah berkerja. Mak cik minta nombor telefon kamu, boleh?"

Gadis itu terpinga-pinga. Air mukanya seperti tidak percaya. Hatinya berkata orang tua di hadapannya itu hanya bergurau. Lambat-lambat dia mengeluarkan sehelai kertas lalu menulis susunan nombor sepuluh angka miliknya. kertas itu berpindah tangan.

    "Err... mak cik nak buat apa dengan nombor saya tu?"

    "Penting. Soal hati. Nanti mak cik telefon kamu,"

Setelah membayar harga yang sepatutnya, Siti Ruminah keluar dengan senyum lebar. Hatinya puas.

    "Ini..." kertas itu dilayang-layang ke muka Shahirul.

    "Ya Allah... Ibu, terima kasih!"


Share:

KELAM

"Mana budak-budak tu pergi?"

"Siti Nazirah ada di dalam. Kakaknya ke rumah Anum, katanya mahu belajar bersama. Periksa kan dah dekat," Masitha hanya melihat suaminya menghirup kopi panas dari cawan. Bibir Musa yang terjuih ke hadapan itu menggelikan hatinya.

“Berapa kali aku dah cakap, jangan lepaskan anak-anak keluar malam. Sekarang banyak kes-kes yang menggerunkan berlaku. Kasihan. Jangan sampai anak kita jadi mangsa,”

“Hmm, beriya benar Siti Munirah tu, bang. Bukannya tidak dilarang, ada. Tapi katanya perjumpaan itu penting,”

“Sudah makankah dia sebelum pergi?”

“Belum. Dah terhidang nasi di atas meja. Tak juga disentuhnya. Katanya tidak mahu lewat,”

Jawapan isterinya itu menyebabkan Musa mendengus. Pantang sungguh dia apabila anak isterinya makan di rumah orang lain. Apa di rumah sendiri tiada makanan?

“Budak itu… keras hati! Kenapa susah sangat Siti Munirah hendak mendengar kata?”

Tiba-tiba kedengaran laungan memanggil emak dari dalam rumah. Masitha memandang wajah suaminya.

“Kenapa lagi dengan Siti Nazirah tu? Ha, itulah kamu. Dah banyak kali aku larang, jangan bagi muka sangat kepada Siti Nazirah tu. Nanti kepala kamu dipijaknya. Silap hari bulan, dengan kepala aku sekali yang dipijaknya,” leter Musa. Hilang nafsunya untuk menikmati kopi panas yang pekat itu lagi.

“Dia budak lagilah, bang. Janganlah bertegas sangat,”

“Itulah kamu. Menangkan lagi budak-budak tu. Tengok Siti Munirah tu. Ada hendaknya mendengar cakap kamu?”

Masitha bangkit dari tempat duduknya. Malas mahu melayan leteran suaminya. Musa memang tegas. Masitha sudah masak benar dengan perangai suaminya itu. Bukan setakat kepada anak-anak, dengannya pun Musa berkeras.

Musa masih melayan perasaan. Ketenangannya yang direnggut sebentar tadi dikejarnya semula. Nyamuk-nyamuk yang mengunyah isi daging betis tuanya hanya dipandang. Terasa malas pula mahu menghulurkan tangan dan menampar pencuri kecil itu. Kelihatan perut kecil itu sudah bunting darah. Musa menghalaunya dengan hujung jari telunjuk. Namun, sayapnya tidak terangkat dengan beban isi perutnya.

Ketika Musa sedang leka bermain dengan nyamuk bunting akan darahnya itu, jeritan isterinya pula kedengaran. Musa tersentak. Terkejut. Kenapa pula anak-beranak ini menjerit-jerit macam orang sawan? Sakit betul hatinya.

“Abang!!!”

“Iya, iya, aku datang!” laung Musa dalam geram. Dia bangkit dengan payah. Kaki kanannya yang telah mati itu diseretnya gagah.

“Kenapa ni?!” tanya Musa melulu setelah sampai ke tengah rumah. Dicarinya Masitha namun tiada di situ. Di mana mereka anak beranak ni?

Musa ke depan pula. Di lihatnya Masitha sedang memeluk Siti Munirah. Anak-beranak itu duduk berlantaikan tanah. Siti Nazirah ada di tangga. Hanya terkebil-kebil memandang. Musa kehairanan. Kemudian, dia mendengar bisikan di telinganya. Seperti angin namun kali ini dia dapat menangkap suara itu dengan jelas.

Tidak tahu dari mana kekuatan itu datang, Musa terjun ke bawah. Kakinya yang tempang itu tidak langsung menganggu langkahnya. Mata Musa menyala. Hidung Musa mendengus nafas keras dan panas. Dia mendekati Masitha. Dilihatnya keadaan Siti Munirah yang kusut masai. Sah! Itu yang dijeritnya dalam hati.

Lengan Siti Munirah disentapnya kuat. Masitha terpelanting. Dia tahu kemarahan Musa. Ketika marah, Musa bukan suaminya. Juga bukan ayah kepada anak-anaknya. Musa adalah Musa. Seperti dirasuk.

“Abang, jangan, bang...” rayu Masitha cuba merebut Siti Munira kembali ke dalam pelukannya. Dia kasihan mendengar tangisan anaknya itu. Hati keibuannya mahu melindungi Siti Munirah.

“Apa yang sudah kau perbuat kepada diri kau?!” tanya Musa, bagai halilintar membelah kesepian malam. Siti Munirah menjawab pertanyaan itu dengan esak tangisnya. Dia kelu.

“Kenapa dengan kau?! Cakap!” Musa terus mendesak. Teriakkan Musa itu menyebabkan jiran tetangga berdekatan keluar meninjau dari tingkap masing-masing. Mereka tertanya-tanya. Kenapa? Ada apa ni?

“Abang, cukuplah tu…” Masitha memegang kaki suaminya. Sia-sia sahaja kerana Musa menyepaknya juga.

“Kau diam.” Ucap Musa.

“Bang, jangan. Malu jiran-jiran tengok…” Masitha merendahkan nada suaranya. Dia bangun. Kali ini dia memegang lengan suaminya itu. Tangannya mengurut dada Musa yang turun naik.

“Siti Munirah, ayah tanya. Siapa buat kat engkau ni?” sedaya upaya Musa mengawal nada suaranya. Beberapa orang jiran tetangga sudah menapak di sekitar rumah. Mereka berbisik sesama sendiri. Anak Musa dibaham buaya liar!

“Nirah tak kenal, ayah. Tak tahu...” jawab Siti Munirah tersekat-sekat. Perutnya memulas. Sakit yang terasa menusuk-nusuk. Dia malu. Dia kasihan akan dirinya.

“Kenapa tidak kau bunuh saja aku?! Daripada aku terpaksa menjawab dan menghadapi saat yang memalukan seperti ini… dasar binatang!” monolognya sendiri dalam hati.

“Bagaimana kau boleh tidak tahu?!” marah Musa mengemuncak semula. Satu tamparan singgah mengenai pipi kanan Siti Munirah. Anaknya itu terpelanting.

Kali ini Masitha hanya mampu memandang. Siti Nazirah dipeluknya erat.

“Berapa kali aku dah cakap, jangan keluar malam. Jangan! Tengok? Apa yang kau dapat? Ini!! Kau bagi malu kepada aku!”

“Maafkan Nirah, ayah…”

Share:

CERITA PENDEK SEBELUM BENCANA

 


Dia masih terlalu muda ketika dibiar terkulat-kulat mengenal dan membau renehan hatinya sendiri. Melihat orang dewasa terus bersandiwara dan berdrama, jiwa muda sepertinya belajar dan terus belajar. Yang dilihat, didengar, disentuh, semuanya mengetul lalu membentuk satu pengertian berharga. Dia senang dalam kekulatan itu. Dia tidak perlu berlari mencari apa yang dimahunya. Ahh... Apa sahaja yang dimahunya?

Tamat sahaja zaman persekolahan, dia merantau ke kota. Ke tengah-tengah kota yang tidak pernah tidur. Dia bijak, pandai membawa diri. Ibu tidak begitu hirau kepadanya. Ibu melempias tanggungjawabnya kepada seorang wanita, diperkenal sebagai sepupu yang punya sebuah perniagaan, anak kepada bapa saudara yang baru sahaja diketahui tentang kewujudannya. Keluarga kaya itu telah memberinya pekerjaan, tempat tinggal dan makanan.

"Kerja baik-baik."
"Jaga diri."
"Kerja ini tak senang tapi kamu boleh bertanya."
"Kalau ada masalah, bagitahu."

Mirza Khair Binti Khairil. Dia memulakan hidup barunya dengan pesanan-pesanan yang kurang penting. Dia bekerja elok-elok sahaja. Malah beberapa kali dipuji-puji dan disebut-sebut oleh bapa saudaranya.

"Jaga salun dan kiosk itu seperti harta kamu." pesan lelaki tua yang masih segak itu. Mirza Khair mengangguk, seperti kebiasaannya. Seperti tidak tahu menggeleng atau memberi respon lain. Semua yang didengar diangguknya sahaja. Namun dia meluang masa juga untuk menilai dan menimbang apabila dirasakan perlu.

Bekerja di salun dan kiosk itu sangat menyeronokkan. Setiap pagi dia bangkit mengemas, menyiapkan diri seadanya, dan memulakan perniagaan itu seperti kepunyaannya sendiri.

Dipendekkan cerita, pertemuannya dengan seorang pelanggan yang bernama Syahrina telah banyak mengubah persepsinya terhadap diri sendiri. Daripada Syahrinalah dia mengetahui bahawa orang perempuan sangat suka dibelai, menggilai sesuatu yang cantik dan menyenangkan, serta paling mahu ditatang dan disayang.

Mirza Khair tidak pernah tahu semua itu. Seumur hidupnya, dia terlalu bekerja keras cuba memahami ayah serta tiga orang adik lelakinya. Itu kelainan yang jelas membezakan dia dan Syahrina. Sungguhpun mereka sama-sama perempuan. Mungkin kerana perbezaan umur mereka mencecah angka 8 tahun, cara berfikir Syahrina lebih mapan. Katanya, itu semua normal. Normal namun tiada dalam dirinya. "Aku bukan perempuan normal, kah?"

Semakin lama, Mirza Khair semakin biasa bergaul dengan Syahrina. Perempuan itu merupakan pelanggan tetap yang datang setiap minggu minta dibelai. Dari wajahnya yang cantik, hinggalah ke tapak kakinya yang kepenatan, Mirza Khair sudah pakar menyenangkan perempuan yang seorang itu.

Syahrina mengaku yang dia amat suka datang ke salun itu. Budak jujur itu hanya tersenyum. Beberapa hari yang lalu, Syahrina memujinya juga, Kening yang kacak, bibir yang kacak, mata yang kacak, senyum yang kacak... Ah, apakah makna semua itu? Terima dalam geli hati yang sarat dengan keanehan. Akhirnya Syahrina memujinya cantik. Ya. Itu diterima dengan penuh faham kerana pujian sebegitu bukan kali pertama.

Suatu hari, temu janji ditunai agak lewat. Alasan Syahrina, terpaksa bekerja lebih masa. Jam 9 malam sepatutnya Mirza khair sudah menghentikan segala urusan perniagaan. Namun demi pelanggan tetap, dilayannya juga. 

Tidak tergesa-gesa, Syahrina menanggalkan habis pakaiannya lalu membaringkan diri ke atas katil. Bersedia untuk diurut. Bilik massage itu hanya diterangi lampu malap. Mirza Khair hanya memandang, menepis dan menolak daripada melayan soalan-soalan liar dalam kepalanya. Duduk di bangku pada bahagian atas kepala katil lalu menunduk menyebabkan hidung genit itu telah tersentuh ubun-ubun Syahrina tanpa sengaja. 

Dalam keadaan tersentak, Mirza Khair menarik nafas dalam. Sesuatu menjalar masuk ke salur pernafasannya, lalu menggoncang paru-parunya untuk menghantar mesej kepada otak, diterjemah sebagai bauan womanish. Ketika itu, Syahrina telah memejamkan mata, kepenatan dan tidak peduli, lalu Mirza Khair mengabaikan kocak fikirannya itu. Kerja dimulakan, peribadi disorok jauh-jauh ke dalam poket seluar.

Dari muka, urutan itu berpindah ke bahu, supaya rasa lega datang. Seketika sahaja urutan itu beraksi, sebelum Syahrina menarik kedua-dua tangan Mirza Khair, menekap kemas di atas dadanya.

"Urut sini..." pintanya separuh berbisik, dengan mata yang masih terpejam. Mirza Khair menarik semula tangannya. Tanpa berfikir, dia mencalit losyen ke tapak tangan lalu memulakan urutan memusar.

"Kuat lagi... Kasar sikit..."

Urutan itu sudah menjadi ramasan. Kali pertama melakukannya, Mirza Khair sedikit kekok namun Syahrina banyak mengajar. Malam itu, Mirza Khair melakukan rutin-rutin urutan yang luar dari biasa. 

"Ini gila..."   katanya beberapa kali sepanjang waktu itu. Syahrina hanya ketawa.

Detik malam itu semakin mengubah persepsi dan cara Mirza Khair memandang perempuan. Setiap pelanggan yang datang berbaris mahukan khidmatnya, dilayan sebaik mungkin. Dia semakin ghairah dan semakin pakar menyenangkan perempuan. Dan mereka amat menyukainya.

Pekerjaan itu sudah menjadi kecintaan Mirza Khair. Setiap hari dia menyentuh dan mengurut paling tidak 10 orang perempuan, sehingga kepenatan tidak lagi diendahkan. Dia semakin menggilai haruman womanish, tidak kira dari tubuh perempuan-perempuan itu, pakaian mahupun rambut mereka. Mirza Khair memerhati segenap inci tubuh-tubuh yang menyerah minta diurut, mengamat bentuk bibir dan dada mereka. Berdengkit-dengkit perasaan itu hadir, melilit jiwanya. Dia perempuan. Perasaan mahu cantik seperti itu normal, kata Syahrina.

Rasa itu terus mengalir dalam darahnya, semakin hidup dan teguh. Namun saat itu Mirza Khair  tidak mahu bicara lanjut. Apa yang dirasanya hanya layanan peribadi yang tidak perlu dicanang-canang.

Sepupu perempuannya telah memperkenalkan Mirza Khair kepada adik lelakinya, dipanggil 'abang' kerana 2 tahun menjengah dunia lebih awal. Mirza Khair tidak terlalu berperasaan dengan perkenalan itu, 2 minggu sudah berlalu. Satu malam, mereka tinggal berdua di rumah, makan-makan dan kemudian berkongsi TV di ruang tamu. Tanpa diduga lelaki itu telah menolak tubuhnya rebah ke atas sofa lalu menciumnya.

"Why the hell u suck my lips like that?"
"I'm not sucking your lips, stupid. I'm kissing you."

Kejadian itu mengajak Mirza Khair membuat penimbangan dan pembedaan yang baharu tentang pandangannya mengenai lelaki dan perempuan. Jahanam. Tidak semena-mena dia harus mengecop ciuman 5 saat itu sebagai ciuman pertamanya!

Usianya menginjak angka 18 tahun beberapa bulan kemudian. Pada hari lahirnya, sepupu perempuan telah memperkenalkannya kepada seorang lelaki yang lain pula, Cikgu Tuah Hamka. Segak, sentiasa mahu kelihatan kemas dengan baju sentiasa dimasukkan ke dalam seluar.

Kali pertama keluar bersama, Mirza Khair berjalan malas-malas membontoti lelaki itu sambil mendengar hujah-hujah akademik yang membosankan.  Dia mengeluh berpuluh-puluh kali. Suasana seperti itu berulang hingga 4 kali. Akhirnya, Mirza Khair menolak untuk meneruskannya. Itu bukan jiwanya. Kejiwaannya terletak di atas katil-katil salun, di dalam bilik sauna dan tab mandi yang berbau mandian susu. Dia gemar dengan kerja-kerja tangannya.

"Saya akan berhijrah ke London." ujar Syahrina suatu petang setelah selesai dengan rawatan kecantikannya. Mirza Khair mengangkat kening, agak terkejut. Dan itulah kali terakhir mereka bertemu. Sebelum pergi, Syahrina mendorong wajahnya terlalu hampir untuk mengucapkan selamat tinggal ke telinga Mirza Khair. Spontan, Mirza Khair menoleh, terdorongkan wajahnya juga lalu bibir mereka bertemu tidak sengaja. Syahrina mengucup bibir yang baru belajar itu agak lama hingga Mirza Khair hilang ruang nafas.

"Jaga diri." Mirza Khair hanya melihat perempuan itu pergi bersama teman lelakinya.

"Ah... gila kompleks!"

Mirza khair meneruskan kerjanya seperti biasa. Namun aneh... dia sangat merindui perempuan itu! Perasaan jalang itu hanya dikemam sahaja. Dia seakan-akan tidak pasti dengan dirinya sendiri. Dia menolak untuk melabel dirinya menyukai Syahrina. Dia hanya obsesi. Tetapi ciuman itu... 2 ciuman yang sangat berbeda perasaannya.

Menyambung sesi persekolahan memaksa Mirza Khair meninggalkan kecintaannya terhadap pekerjaan sebagai beautician itu. Keterpaksaan yang merenggut nafsunya untuk mentela'ah. Hari pertama, pendaftaran pelajar tingkatan Enam Rendah ke sekolah berasrama itu biasa-biasa sahaja. Namun Mirza Khair berlakon tidak tahu dan tidak peduli apabila mata-mata di situ menatap dan melekat ke wajahnya. Terima kasih tuhan, untuk wajah ini. Mirza Khair juga mencintai wajahnya yang cantik itu.

Dia duduk dalam barisan bersama pelajar lain. Perasaan janggal untuk duduk berhimpit-himpit semula seperti itu dipujuk-pujuknya. Kelas pertama aliran kemanusiaan. Kelas Sains duduk bersebelahan dengan barisan kelasnya. Ada lorot nakal sedang pandang-pandang. Mirza Khair angkat kepala ke arah beberapa orang pelajar perempuan kelas Sains, sedang berbisik-bisik sesama mereka.

Salah seorang daripada mereka senyum berani, matanya tajam menelanjang sambil membetulkan rambutnya yang dipotong seakan-akan gaya potongan rambut Bi Rain itu. Mirza Khair membalas serangan itu dengan bedilan senyum. Tidak lama selepas itu, sampai sekeping nota yang sengaja digumpal bulat.

"Saya mahu kenal awak."

Mirza Khair menyelit nota itu ke dalam bukunya. 

"Hmm.." keluhnya. Dia tidak lagi mahu membalas pandangan sesiapa. Tumpuannya kini terarah ke hadapan. Seorang guru sedang memberi ucapan. Ketika itulah seorang pelajar lelaki dari dalam barisan kelasnya menoleh ke belakang. Tanda nama di dadanya jelas terpampang. RAPHAEL.

Dia tidak senyum. Hanya matanya membulat. Apabila renungannya dibalas, Raphael cepat-cepat melarikan diri. Bagai hendak gugur, jantungnya berdegup kencang.  





Share:

BULUS

 

Kami sedang melayan rasa lapar ketika terdengar bunyi ketukan perlahan pada pintu rumah. Seorang demi seorang, kami mula bangkit keluar dari selimut usang masing-masing. Ibu yang berdengkur halus dikejutkan. Ada orang di luar, ayah kami pula tiada di dalam. 

Ibu bangkit dengan mata separuh terbuka. Takut kami dilayannya sabar. Perlahan, ibu mendekati pintu. Apabila daun pintu yang tidak berapa tegap itu terkuak, angin laju menerobos masuk. Kami berdiri di belakang ibu. Bukan takutkan angin, tapi takutkan si pengetuk pintu. Takutkan hantu. Sudah tengah malam benar.

Dari belakang ibu itu, kami tertinjau-tinjau. Tidak ada hantu. Tidak ada lembaga atau syaitan macam yang kami bayang. Tiada siapa-siapa. Kami berempat mengerutkan dahi. Tidak langsung percayakan mata kami ketika itu. Apa yang sedang kami lihat di hadapan pintu itu sangat mustahil!
__________________________________________________________________________

Mereka semakin membesar. Dan ibu mereka sama seperti ibu kami. Bersabar dalam kebanyakan keadaan. Memberi kami makan dahulu sebelum mencuri-jamah sedikit-sedikit dari pinggir pinggan kami. Ibu mereka juga begitu. Sampai mereka kenyang, barulah ibu mereka lelap. Melihat mereka, kami seperti melihat kami. Kami yang terbiar, tiada bapa. Entah siapa bapa kami dan mereka.

Kami dan mereka bersahabat. Sesekali, kami dan mereka berkongsi apa saja yang boleh disuap ke dalam mulut dan dicerna di dalam perut. Walaupun kami tidak mengerti bahasa tuturan mereka, namun mereka seperti mengerti bahasa kami. Kami sangat sayangkan mereka. Dan mereka juga sepertinya sangat sayangkan kami.

Kedatangan mereka pada malam beribut kencang beberapa bulan lepas masih mampu membuatkan kami tersenyum tidak percaya setiap kali kami cuba atau teringatkannya semula. Kata ibu, kedatangan mereka seperti dihantar oleh tuhan. Rahmat. Berbelas-belas kali juga kami mendengar ibu menyatakan pendiriannya itu. Namun, kami cuma mengangguk pura-pura faham.

Rahmat apakah? Kekayaan? Kesihatan? Kesenangan?

Ketika pulang dari sekolah tengah hari itu, kami adik-beradik tidak terus naik ke rumah. Kami berkumpul di pangkin bawah rumah, tempat ibu selalu duduk meraut tangkai daun kelapa untuk dibuat penyapu lidi. Penyapu lidi itu akan dijual kepada pekedai runcit di kampung. Itulah antara sumber pendapat keluarga kami. 

Kami melihat mereka sedang asyik menetek susu suam daripada puting comot, berganti-ganti dan berebut-rebut padahal jumlah puting comot itu lebih seganda daripada jumlah mulut comel mereka. Sementara itu, ibu mereka sedang leka menjilat bulu-bulu mereka yang tebal dan berselirat. 

         “Naik cepat! Makan!” laung ibu seperti watak dalam cerita Hallow Man, yang kedengaran cuma suara, tidak mukanya. Mereka ikut kami berlari apabila melihat kami berlari. Kami berlumba. Dan langkah kaki kami yang besar-besar amatlah mustahil untuk ditewaskan walaupun mereka punya empat kaki.

Kami makan dengan lahap. Mereka juga makan dengan lahap seperti susu suam ibu mereka itu tidak mampu mengenyangkan mereka. Ibu muda itu hanya duduk di sebelah ibu kami. Sekejap menjilat-jilat tangan, sekejap seperti mengerling ke arah anak-anaknya. Asalnya mereka anak-beranak hanya mahu menumpang teduh, tetapi keluarga mulia ini telah menyayangi mereka seperti darah daging sendiri. Kalaulah keluarga ini faham ucapan terima kasihnya. 

          “Meoww....” ibu muda itu menggeselkan kepalanya ke lutut ibu. Ibu tersenyum lalu menggaru sedikit kepala ibu muda itu.

           “Kau makanlah jugak, Timah.” Kata ibu kami lalu menghulur nasi bergaul isi ikan goreng di atas daun pisang ke muka Timah. Ya, ibu memanggil ibu muda itu Timah. Kami juga tidak tahu kenapa ibu memilih nama itu. Bagi ibu, nama itu senang disebut. Dan ibu muda itu seperti faham, setiap kali nama Timah dilaung, dia akan datang sambil mengeow-ngeow seperti menyahut.

Pond, Dante, Pattaya dan Apatcha. 

Nama mereka kami tidak beri semberono. Nama mereka kami ambil daripada nama watak-watak dalam sebuah drama Thailand yang ditayangkan di TV2 setiap hari pada pukul 2.00 petang. Kecuali sabtu dan ahad, lima hari seminggu itu ibu tidak boleh diganggu selagi episod drama Thailand pada hari tersebut belum habis. 

Kami juga menggemari drama dalam bahasa aneh itu. Kami sering mengolok dialog yang diucapkan Pond, Dante, Pattaya dan Apatcha ketika bermain atau berborak sebelum tidur. Kadang-kadang, kami pura-pura bercakap dengan mereka berempat menggunakan bahasa aneh seperti yang kami dengar di tv. Tetapi pelakon cilik di hadapan kami ini hanya menjawab dengan satu dialog, “meow”. 

Raimah, Abu Hanif, Abu Syarif dan Zaharah.

P.L.L.P. Susunan jantina kami menyamai susunan jantina mereka. Tapi, susunan mereka itu saja-saja kami buat dan lakar sendiri. Siapa tahu antara mereka yang mana satu menerjah keluar melihat dunia terlebih dahulu? Tiada surat beranak, tiada rekod. Ibu merekapun tidak pernah bercerita. Ya. Sampai kami mati, sampai mereka mati, hanya mereka dan tuhan sahaja yang tahu. Tambahan, pentingkah untuk tahu?

Sepuluh tahun berlalu.

Mereka sudah lebih empat tahun tidak beribu. Ibu menemui Timah kekejangan suatu pagi. Mulutnya berbuih. Kata ibu, Timah mungkin termakan tikus yang sudah termakan racun, lalu racun itu membunuhnya juga. Dua kematian sekelip mata. Mereka menumpang kasih ibu kami. Ibu kami yang penyayang. 

Benar. Sejak bulus-bulus itu hadir, hidup kami berubah ceria. Keperihan hidup seperti terubat. Kalau sebelum ini kami selalu meratap ketiadaan bapa, anak-anak bulus itu menjadi semangat bahawa kami bisa hidup dan membesar seperti mereka tanpa adanya bapa. Kalau sebelum ini kami selalu meratap kekurangan itu dan ini, sekarang semuanya terasa cukup. Malah, boleh dikongsi rasa juga dengan mereka. Kami bersyukur kepada tuhan atas segala rahmat dan kasih sayang itu. Diam-diam kami mengikat janji, kami akan menjaga anak-anak bulus itu sampai bila-bila. 

Dulu sekadar berlima. Sekarang, ahli keluarga mereka menambah bilangan dengan gandaan yang luar biasa banyaknya. Kadang-kadang ibu kami bising-bising juga. Keturunan anak-anak bulus itu manja-manja, cantik-kacak belaka, namun ada juga yang nakal perilakunya. 

Dalam rumah besar berpintu tegap itu (jauh lebih tegap berbanding pintu yang diketuk oleh Timah suatu ketika dahulu), kami membesar bersama-sama, di bawah rahmat tuhan Yang Esa.

Share:

RABUL DAN BOBOI

 

Dia hempas gitar itu ke lantai. Tapi hatinya belum puas, dari tadi mulutnya tak henti-henti menyumpah seranah. Marahnya masih belum reda-reda juga. Gitar itu dihempas lagi ke lantai. Keletunggg!!!! Gitar itu melantun lalu terkena mukanya. Dia semakin marah. 

"Babiiiiii!!!!!"  jeritnya bertalu-talu.

Sejak sejam yang lepas, itulah yang dilakukannya. Marahkan gitar pemberian perempuan jahanam yang telah meludah cintanya. Kira macam pukul anak, sindir menantulah ni. Tapi dia ini agak gila. Dan gitar itu terbilang tahap tabahnya. 

Dibaling, dihempas, gitar itu kembali melantun dan menimpa kepala dia. Mana tak naik gila. 

Seekor kucing bernama Boboi hanya memberikan pandangan kosong. Kasihan pun ada melihat keadaan tuannya yang naik gila ditinggal cinta. Boboi turun tangga perlahan-lahan. Belum sampai ke tanah, Boboi terkedu. Buah hatinya, Si Hitam, sedang berasmara dengan Komeng. 

Boboi mengamuk. Dia menjerit nyaring mengejutkan Hitam. Tapi Komeng meneruskan ayunan punggungnya walaupun Boboi sudah berguling-guling di atas tanah, di depan Hitam. Hitam beri pandangan kosong sebelum bertempiaran lari meninggalkan Komeng yang telanjang nampak anu.

Komeng yang marah bila kerjanya tak sempat langsai terus bergusti dengan Boboi. Habis tercabut bulu ekor Boboi. Mendengar suara Boboi mintak tolong, tuannya si Rabul turun ke tanah juga. 

      "Haa, lawan Boboi! Lawan macam anak jantan!" pekik Rabul, sebenarnya masih melayan rasa gila dan Boboi mendapat tempiasnya.

Lama berlawan, Boboi bukan lawan Komeng. Boboi mati. Rabul naik semula ke rumah untuk menyambung semula kerjanya yang terhenti, menghempas gitar ke lantai.

Share:

VISITORS

ABOUT US

ABOUT US
Please, allow me to show you something. Wrote you a letter, Now that I'm here without you. Hope that you're better, Hope that you found someone new 'Cause I'm getting older, Know that I've changed And I can't go back now. Nothing's the same But I won't forget how You called my name When I was afraid, And now I'm afraid. Will you remember me? Will you remember the way that I was? Will you remember me? Will you remember the way that you felt when you're next to me? Will you remember? Do you remember me? Do you remember? Will you remember me?

MY MUSIC

Recent Posts

Labels

Unordered List