"Ibu tolonglah!"
Dengan permintaan itu, perempuan berusia setengah abad itu melangkah masuk semula. Hatinya geram namun demi anak lelaki yang seorang itu, ditebalkan juga mukanya. Teragak-agak, dia mundar-mandir di hadapan sederet rak yang sarat dengan muatan jajan dan coklat yang tidak pernah dijamah giginya. Dia pura-pura membelek dan membaca. Dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu. Ingin saja dipulasnya perut Shahirul. Melepaskan geram. Kenapa dia mesti melakukan semua ini?
Kerana Shahirul memanggilnya "ibu". Hanya kerana itu.
Dia beratur panjang. Seperti ulat yang gelisah, begitulah gaya orang-orang yang berdiri dalam barisan bengkang-bengkok, di hadapan mahupun di belakangnya. Dua, tiga, empat... dia mengira-ngira dalam hati. Masih terlalu ramai orang di hadapannya. Dia berpeluh dalam hawa dingin. Sabar... Hajat Shahirul perlu disampaikan. Kalau tidak sampai, merajuk anak bertuah itu membuang pinggan, membuang air mata.
Siti Ruminah mengatur skrip dan dialog. Gilirannya akan sampai sekejap lagi. Tersenyum-senyum dia kepada orang-orang sekeliling. Tiada siapa membalas kerana dia saja-saja mahu senyum-senyum. Tinggal lagi seorang perempuan Cina di hadapannya. Hatinya tersembur-sembur rasa debar.
"Assalamualaikum, selamat petang..."
"Wa..wa..." salam... sambung Siti Ruminah dalam hati. Entah kenapa dia tergagap-gagap. Termalu dia sendiri. Muka kasihan Shahirul bermain di matanya.
"Eh, rasanya mak cik dah datang tadi. Tertinggal barang?"
"Ya, ya..." jawab Siti Ruminah, masih tergagap-gagap lalu meletakkan beberapa bungkus jajan yang tidak langsung hendak dimakannya ke atas kaunter.
"Ini sahaja?" gadis itu hanya berniat mahu menyakat. Namun, Siti Ruminah bijak mencucuk hajatnya ke celah-celah gurauan itu.
"Tak. Mak cik ada hajat lain. Tapi susah nak bercakap di sini. kamu pun tengah berkerja. Mak cik minta nombor telefon kamu, boleh?"
Gadis itu terpinga-pinga. Air mukanya seperti tidak percaya. Hatinya berkata orang tua di hadapannya itu hanya bergurau. Lambat-lambat dia mengeluarkan sehelai kertas lalu menulis susunan nombor sepuluh angka miliknya. kertas itu berpindah tangan.
"Err... mak cik nak buat apa dengan nombor saya tu?"
"Penting. Soal hati. Nanti mak cik telefon kamu,"
Setelah membayar harga yang sepatutnya, Siti Ruminah keluar dengan senyum lebar. Hatinya puas.
"Ini..." kertas itu dilayang-layang ke muka Shahirul.
"Ya Allah... Ibu, terima kasih!"
No comments:
Post a Comment