Malam itu ada berita sedang menyebar lebih pantas daripada angin yang sedang meribut kota. Dari corong-corong mulut warga yang lalu-lalang, berita itu terkhabar tanpa sempat untuk si mati menyedari bahawa dia telah mati.
Beberapa orang lelaki muda yang agak berani pada mulanya menyangkakan jasad itu seorang pengemis, lalu disepak dan diterajangnya, disuruh bangun, kerana posisi baringan jasad itu menghalang langkah kaki mereka. Namun setelah penat membelasah jasad itu, barulah mereka sedar ia tidak lagi bernafas. Kaku. Mereka berniat mahu lari lintang-pukang. Sangka mereka, kaki merekalah yang membunuh jasad itu. Namun, beberapa orang lelaki lain sudah membelasah mereka pula tanpa usul tanya. Kaki mereka yang kurang ajar itu telah diikat, dan tangan-tangan orang yang menjadi saksi kejadian konon-kononnya, padahal mulanya berhenti sekadar mahu menonton, tak henti-henti menumbuk dan menampar muka mereka.
Malam itu sepatutnya bersuhu dingin tetapi semua orang kepanasan kerana amarah. Lalu lorong gelap itu tiba-tiba bertukar wajah seakan tapak pesta. Lampu tiga warna kereta peronda polis seperti lampu ligat kelab malam, terang-benderang. Polis melingkar kawasan itu dengan pita saktinya. Tiada seorangpun berani mendekat selepas itu.
Sekelip mata, jasad kaku itu menjadi selebriti. Bukan setakat di tapak pesta itu, gambar dan ceritanya dipasing-pasing dalam jaringan sesawang. Ada yang tumpang sedih, namun lebih ramai yang melantik diri sendiri menjadi hakim besar, menjatuhkan hukuman dan seterusnya dia jugalah yang mahu menjalankan hukuman. Hukuman yang terjatuh tanpa perlu bukti kukuh dan sidang perbicaraan. Mengalahkan hukum hutan rimba.
Sesekali terdengar jeritan sumbang suara-suara parau menyebut perkataan "bangsat", diikuti bunyi ludah dan maki-makian. Lelaki-lelaki muda itu menangis-nangis ketika beberapa orang lelaki dan perempuan yang lengkap berkamera membacakan pertuduhan tidak rasmi, namun dianggap sangat sensasi sebagai berita tergempar, di hadapan mereka. Mengaku tidak, menidakkan juga tidak. Mahu saja rasanya pura-pura ikut mati di situ. Berbaring tanpa aksi di sebelah jasad kaku itu. Tapi itu mustahil.
Dan aku, si mati. Duduk bersilang kaki menyaksikan bagaimana orang-orang meraikan kematianku. Tiada siapa menangis. Yang ramai cuma kepala yang sibuk tertinjau-tinjau. Dan tangan-tangan mereka yang gigih menembak jasadku dengan kamera masing-masing sambil berdiri berjengket kaki. Rasa kelakar berkepul-kepul menyelubung pandanganku.
No comments:
Post a Comment