CERITA PENDEK SEBELUM BENCANA

 


Dia masih terlalu muda ketika dibiar terkulat-kulat mengenal dan membau renehan hatinya sendiri. Melihat orang dewasa terus bersandiwara dan berdrama, jiwa muda sepertinya belajar dan terus belajar. Yang dilihat, didengar, disentuh, semuanya mengetul lalu membentuk satu pengertian berharga. Dia senang dalam kekulatan itu. Dia tidak perlu berlari mencari apa yang dimahunya. Ahh... Apa sahaja yang dimahunya?

Tamat sahaja zaman persekolahan, dia merantau ke kota. Ke tengah-tengah kota yang tidak pernah tidur. Dia bijak, pandai membawa diri. Ibu tidak begitu hirau kepadanya. Ibu melempias tanggungjawabnya kepada seorang wanita, diperkenal sebagai sepupu yang punya sebuah perniagaan, anak kepada bapa saudara yang baru sahaja diketahui tentang kewujudannya. Keluarga kaya itu telah memberinya pekerjaan, tempat tinggal dan makanan.

"Kerja baik-baik."
"Jaga diri."
"Kerja ini tak senang tapi kamu boleh bertanya."
"Kalau ada masalah, bagitahu."

Mirza Khair Binti Khairil. Dia memulakan hidup barunya dengan pesanan-pesanan yang kurang penting. Dia bekerja elok-elok sahaja. Malah beberapa kali dipuji-puji dan disebut-sebut oleh bapa saudaranya.

"Jaga salun dan kiosk itu seperti harta kamu." pesan lelaki tua yang masih segak itu. Mirza Khair mengangguk, seperti kebiasaannya. Seperti tidak tahu menggeleng atau memberi respon lain. Semua yang didengar diangguknya sahaja. Namun dia meluang masa juga untuk menilai dan menimbang apabila dirasakan perlu.

Bekerja di salun dan kiosk itu sangat menyeronokkan. Setiap pagi dia bangkit mengemas, menyiapkan diri seadanya, dan memulakan perniagaan itu seperti kepunyaannya sendiri.

Dipendekkan cerita, pertemuannya dengan seorang pelanggan yang bernama Syahrina telah banyak mengubah persepsinya terhadap diri sendiri. Daripada Syahrinalah dia mengetahui bahawa orang perempuan sangat suka dibelai, menggilai sesuatu yang cantik dan menyenangkan, serta paling mahu ditatang dan disayang.

Mirza Khair tidak pernah tahu semua itu. Seumur hidupnya, dia terlalu bekerja keras cuba memahami ayah serta tiga orang adik lelakinya. Itu kelainan yang jelas membezakan dia dan Syahrina. Sungguhpun mereka sama-sama perempuan. Mungkin kerana perbezaan umur mereka mencecah angka 8 tahun, cara berfikir Syahrina lebih mapan. Katanya, itu semua normal. Normal namun tiada dalam dirinya. "Aku bukan perempuan normal, kah?"

Semakin lama, Mirza Khair semakin biasa bergaul dengan Syahrina. Perempuan itu merupakan pelanggan tetap yang datang setiap minggu minta dibelai. Dari wajahnya yang cantik, hinggalah ke tapak kakinya yang kepenatan, Mirza Khair sudah pakar menyenangkan perempuan yang seorang itu.

Syahrina mengaku yang dia amat suka datang ke salun itu. Budak jujur itu hanya tersenyum. Beberapa hari yang lalu, Syahrina memujinya juga, Kening yang kacak, bibir yang kacak, mata yang kacak, senyum yang kacak... Ah, apakah makna semua itu? Terima dalam geli hati yang sarat dengan keanehan. Akhirnya Syahrina memujinya cantik. Ya. Itu diterima dengan penuh faham kerana pujian sebegitu bukan kali pertama.

Suatu hari, temu janji ditunai agak lewat. Alasan Syahrina, terpaksa bekerja lebih masa. Jam 9 malam sepatutnya Mirza khair sudah menghentikan segala urusan perniagaan. Namun demi pelanggan tetap, dilayannya juga. 

Tidak tergesa-gesa, Syahrina menanggalkan habis pakaiannya lalu membaringkan diri ke atas katil. Bersedia untuk diurut. Bilik massage itu hanya diterangi lampu malap. Mirza Khair hanya memandang, menepis dan menolak daripada melayan soalan-soalan liar dalam kepalanya. Duduk di bangku pada bahagian atas kepala katil lalu menunduk menyebabkan hidung genit itu telah tersentuh ubun-ubun Syahrina tanpa sengaja. 

Dalam keadaan tersentak, Mirza Khair menarik nafas dalam. Sesuatu menjalar masuk ke salur pernafasannya, lalu menggoncang paru-parunya untuk menghantar mesej kepada otak, diterjemah sebagai bauan womanish. Ketika itu, Syahrina telah memejamkan mata, kepenatan dan tidak peduli, lalu Mirza Khair mengabaikan kocak fikirannya itu. Kerja dimulakan, peribadi disorok jauh-jauh ke dalam poket seluar.

Dari muka, urutan itu berpindah ke bahu, supaya rasa lega datang. Seketika sahaja urutan itu beraksi, sebelum Syahrina menarik kedua-dua tangan Mirza Khair, menekap kemas di atas dadanya.

"Urut sini..." pintanya separuh berbisik, dengan mata yang masih terpejam. Mirza Khair menarik semula tangannya. Tanpa berfikir, dia mencalit losyen ke tapak tangan lalu memulakan urutan memusar.

"Kuat lagi... Kasar sikit..."

Urutan itu sudah menjadi ramasan. Kali pertama melakukannya, Mirza Khair sedikit kekok namun Syahrina banyak mengajar. Malam itu, Mirza Khair melakukan rutin-rutin urutan yang luar dari biasa. 

"Ini gila..."   katanya beberapa kali sepanjang waktu itu. Syahrina hanya ketawa.

Detik malam itu semakin mengubah persepsi dan cara Mirza Khair memandang perempuan. Setiap pelanggan yang datang berbaris mahukan khidmatnya, dilayan sebaik mungkin. Dia semakin ghairah dan semakin pakar menyenangkan perempuan. Dan mereka amat menyukainya.

Pekerjaan itu sudah menjadi kecintaan Mirza Khair. Setiap hari dia menyentuh dan mengurut paling tidak 10 orang perempuan, sehingga kepenatan tidak lagi diendahkan. Dia semakin menggilai haruman womanish, tidak kira dari tubuh perempuan-perempuan itu, pakaian mahupun rambut mereka. Mirza Khair memerhati segenap inci tubuh-tubuh yang menyerah minta diurut, mengamat bentuk bibir dan dada mereka. Berdengkit-dengkit perasaan itu hadir, melilit jiwanya. Dia perempuan. Perasaan mahu cantik seperti itu normal, kata Syahrina.

Rasa itu terus mengalir dalam darahnya, semakin hidup dan teguh. Namun saat itu Mirza Khair  tidak mahu bicara lanjut. Apa yang dirasanya hanya layanan peribadi yang tidak perlu dicanang-canang.

Sepupu perempuannya telah memperkenalkan Mirza Khair kepada adik lelakinya, dipanggil 'abang' kerana 2 tahun menjengah dunia lebih awal. Mirza Khair tidak terlalu berperasaan dengan perkenalan itu, 2 minggu sudah berlalu. Satu malam, mereka tinggal berdua di rumah, makan-makan dan kemudian berkongsi TV di ruang tamu. Tanpa diduga lelaki itu telah menolak tubuhnya rebah ke atas sofa lalu menciumnya.

"Why the hell u suck my lips like that?"
"I'm not sucking your lips, stupid. I'm kissing you."

Kejadian itu mengajak Mirza Khair membuat penimbangan dan pembedaan yang baharu tentang pandangannya mengenai lelaki dan perempuan. Jahanam. Tidak semena-mena dia harus mengecop ciuman 5 saat itu sebagai ciuman pertamanya!

Usianya menginjak angka 18 tahun beberapa bulan kemudian. Pada hari lahirnya, sepupu perempuan telah memperkenalkannya kepada seorang lelaki yang lain pula, Cikgu Tuah Hamka. Segak, sentiasa mahu kelihatan kemas dengan baju sentiasa dimasukkan ke dalam seluar.

Kali pertama keluar bersama, Mirza Khair berjalan malas-malas membontoti lelaki itu sambil mendengar hujah-hujah akademik yang membosankan.  Dia mengeluh berpuluh-puluh kali. Suasana seperti itu berulang hingga 4 kali. Akhirnya, Mirza Khair menolak untuk meneruskannya. Itu bukan jiwanya. Kejiwaannya terletak di atas katil-katil salun, di dalam bilik sauna dan tab mandi yang berbau mandian susu. Dia gemar dengan kerja-kerja tangannya.

"Saya akan berhijrah ke London." ujar Syahrina suatu petang setelah selesai dengan rawatan kecantikannya. Mirza Khair mengangkat kening, agak terkejut. Dan itulah kali terakhir mereka bertemu. Sebelum pergi, Syahrina mendorong wajahnya terlalu hampir untuk mengucapkan selamat tinggal ke telinga Mirza Khair. Spontan, Mirza Khair menoleh, terdorongkan wajahnya juga lalu bibir mereka bertemu tidak sengaja. Syahrina mengucup bibir yang baru belajar itu agak lama hingga Mirza Khair hilang ruang nafas.

"Jaga diri." Mirza Khair hanya melihat perempuan itu pergi bersama teman lelakinya.

"Ah... gila kompleks!"

Mirza khair meneruskan kerjanya seperti biasa. Namun aneh... dia sangat merindui perempuan itu! Perasaan jalang itu hanya dikemam sahaja. Dia seakan-akan tidak pasti dengan dirinya sendiri. Dia menolak untuk melabel dirinya menyukai Syahrina. Dia hanya obsesi. Tetapi ciuman itu... 2 ciuman yang sangat berbeda perasaannya.

Menyambung sesi persekolahan memaksa Mirza Khair meninggalkan kecintaannya terhadap pekerjaan sebagai beautician itu. Keterpaksaan yang merenggut nafsunya untuk mentela'ah. Hari pertama, pendaftaran pelajar tingkatan Enam Rendah ke sekolah berasrama itu biasa-biasa sahaja. Namun Mirza Khair berlakon tidak tahu dan tidak peduli apabila mata-mata di situ menatap dan melekat ke wajahnya. Terima kasih tuhan, untuk wajah ini. Mirza Khair juga mencintai wajahnya yang cantik itu.

Dia duduk dalam barisan bersama pelajar lain. Perasaan janggal untuk duduk berhimpit-himpit semula seperti itu dipujuk-pujuknya. Kelas pertama aliran kemanusiaan. Kelas Sains duduk bersebelahan dengan barisan kelasnya. Ada lorot nakal sedang pandang-pandang. Mirza Khair angkat kepala ke arah beberapa orang pelajar perempuan kelas Sains, sedang berbisik-bisik sesama mereka.

Salah seorang daripada mereka senyum berani, matanya tajam menelanjang sambil membetulkan rambutnya yang dipotong seakan-akan gaya potongan rambut Bi Rain itu. Mirza Khair membalas serangan itu dengan bedilan senyum. Tidak lama selepas itu, sampai sekeping nota yang sengaja digumpal bulat.

"Saya mahu kenal awak."

Mirza Khair menyelit nota itu ke dalam bukunya. 

"Hmm.." keluhnya. Dia tidak lagi mahu membalas pandangan sesiapa. Tumpuannya kini terarah ke hadapan. Seorang guru sedang memberi ucapan. Ketika itulah seorang pelajar lelaki dari dalam barisan kelasnya menoleh ke belakang. Tanda nama di dadanya jelas terpampang. RAPHAEL.

Dia tidak senyum. Hanya matanya membulat. Apabila renungannya dibalas, Raphael cepat-cepat melarikan diri. Bagai hendak gugur, jantungnya berdegup kencang.  





Share:

No comments:

Post a Comment

VISITORS

ABOUT US

ABOUT US
Please, allow me to show you something. Wrote you a letter, Now that I'm here without you. Hope that you're better, Hope that you found someone new 'Cause I'm getting older, Know that I've changed And I can't go back now. Nothing's the same But I won't forget how You called my name When I was afraid, And now I'm afraid. Will you remember me? Will you remember the way that I was? Will you remember me? Will you remember the way that you felt when you're next to me? Will you remember? Do you remember me? Do you remember? Will you remember me?

MY MUSIC

Recent Posts

Labels

Unordered List