Kami sedang melayan rasa lapar ketika terdengar bunyi ketukan perlahan pada pintu rumah. Seorang demi seorang, kami mula bangkit keluar dari selimut usang masing-masing. Ibu yang berdengkur halus dikejutkan. Ada orang di luar, ayah kami pula tiada di dalam.
Ibu bangkit dengan mata separuh terbuka. Takut kami dilayannya sabar. Perlahan, ibu mendekati pintu. Apabila daun pintu yang tidak berapa tegap itu terkuak, angin laju menerobos masuk. Kami berdiri di belakang ibu. Bukan takutkan angin, tapi takutkan si pengetuk pintu. Takutkan hantu. Sudah tengah malam benar.
Dari belakang ibu itu, kami tertinjau-tinjau. Tidak ada hantu. Tidak ada lembaga atau syaitan macam yang kami bayang. Tiada siapa-siapa. Kami berempat mengerutkan dahi. Tidak langsung percayakan mata kami ketika itu. Apa yang sedang kami lihat di hadapan pintu itu sangat mustahil!
__________________________________________________________________________
Mereka semakin membesar. Dan ibu mereka sama seperti ibu kami. Bersabar dalam kebanyakan keadaan. Memberi kami makan dahulu sebelum mencuri-jamah sedikit-sedikit dari pinggir pinggan kami. Ibu mereka juga begitu. Sampai mereka kenyang, barulah ibu mereka lelap. Melihat mereka, kami seperti melihat kami. Kami yang terbiar, tiada bapa. Entah siapa bapa kami dan mereka.
Kami dan mereka bersahabat. Sesekali, kami dan mereka berkongsi apa saja yang boleh disuap ke dalam mulut dan dicerna di dalam perut. Walaupun kami tidak mengerti bahasa tuturan mereka, namun mereka seperti mengerti bahasa kami. Kami sangat sayangkan mereka. Dan mereka juga sepertinya sangat sayangkan kami.
Kedatangan mereka pada malam beribut kencang beberapa bulan lepas masih mampu membuatkan kami tersenyum tidak percaya setiap kali kami cuba atau teringatkannya semula. Kata ibu, kedatangan mereka seperti dihantar oleh tuhan. Rahmat. Berbelas-belas kali juga kami mendengar ibu menyatakan pendiriannya itu. Namun, kami cuma mengangguk pura-pura faham.
Rahmat apakah? Kekayaan? Kesihatan? Kesenangan?
Ketika pulang dari sekolah tengah hari itu, kami adik-beradik tidak terus naik ke rumah. Kami berkumpul di pangkin bawah rumah, tempat ibu selalu duduk meraut tangkai daun kelapa untuk dibuat penyapu lidi. Penyapu lidi itu akan dijual kepada pekedai runcit di kampung. Itulah antara sumber pendapat keluarga kami.
Kami melihat mereka sedang asyik menetek susu suam daripada puting comot, berganti-ganti dan berebut-rebut padahal jumlah puting comot itu lebih seganda daripada jumlah mulut comel mereka. Sementara itu, ibu mereka sedang leka menjilat bulu-bulu mereka yang tebal dan berselirat.
“Naik cepat! Makan!” laung ibu seperti watak dalam cerita Hallow Man, yang kedengaran cuma suara, tidak mukanya. Mereka ikut kami berlari apabila melihat kami berlari. Kami berlumba. Dan langkah kaki kami yang besar-besar amatlah mustahil untuk ditewaskan walaupun mereka punya empat kaki.
Kami makan dengan lahap. Mereka juga makan dengan lahap seperti susu suam ibu mereka itu tidak mampu mengenyangkan mereka. Ibu muda itu hanya duduk di sebelah ibu kami. Sekejap menjilat-jilat tangan, sekejap seperti mengerling ke arah anak-anaknya. Asalnya mereka anak-beranak hanya mahu menumpang teduh, tetapi keluarga mulia ini telah menyayangi mereka seperti darah daging sendiri. Kalaulah keluarga ini faham ucapan terima kasihnya.
“Meoww....” ibu muda itu menggeselkan kepalanya ke lutut ibu. Ibu tersenyum lalu menggaru sedikit kepala ibu muda itu.
“Kau makanlah jugak, Timah.” Kata ibu kami lalu menghulur nasi bergaul isi ikan goreng di atas daun pisang ke muka Timah. Ya, ibu memanggil ibu muda itu Timah. Kami juga tidak tahu kenapa ibu memilih nama itu. Bagi ibu, nama itu senang disebut. Dan ibu muda itu seperti faham, setiap kali nama Timah dilaung, dia akan datang sambil mengeow-ngeow seperti menyahut.
Pond, Dante, Pattaya dan Apatcha.
Nama mereka kami tidak beri semberono. Nama mereka kami ambil daripada nama watak-watak dalam sebuah drama Thailand yang ditayangkan di TV2 setiap hari pada pukul 2.00 petang. Kecuali sabtu dan ahad, lima hari seminggu itu ibu tidak boleh diganggu selagi episod drama Thailand pada hari tersebut belum habis.
Kami juga menggemari drama dalam bahasa aneh itu. Kami sering mengolok dialog yang diucapkan Pond, Dante, Pattaya dan Apatcha ketika bermain atau berborak sebelum tidur. Kadang-kadang, kami pura-pura bercakap dengan mereka berempat menggunakan bahasa aneh seperti yang kami dengar di tv. Tetapi pelakon cilik di hadapan kami ini hanya menjawab dengan satu dialog, “meow”.
Raimah, Abu Hanif, Abu Syarif dan Zaharah.
P.L.L.P. Susunan jantina kami menyamai susunan jantina mereka. Tapi, susunan mereka itu saja-saja kami buat dan lakar sendiri. Siapa tahu antara mereka yang mana satu menerjah keluar melihat dunia terlebih dahulu? Tiada surat beranak, tiada rekod. Ibu merekapun tidak pernah bercerita. Ya. Sampai kami mati, sampai mereka mati, hanya mereka dan tuhan sahaja yang tahu. Tambahan, pentingkah untuk tahu?
Sepuluh tahun berlalu.
Mereka sudah lebih empat tahun tidak beribu. Ibu menemui Timah kekejangan suatu pagi. Mulutnya berbuih. Kata ibu, Timah mungkin termakan tikus yang sudah termakan racun, lalu racun itu membunuhnya juga. Dua kematian sekelip mata. Mereka menumpang kasih ibu kami. Ibu kami yang penyayang.
Benar. Sejak bulus-bulus itu hadir, hidup kami berubah ceria. Keperihan hidup seperti terubat. Kalau sebelum ini kami selalu meratap ketiadaan bapa, anak-anak bulus itu menjadi semangat bahawa kami bisa hidup dan membesar seperti mereka tanpa adanya bapa. Kalau sebelum ini kami selalu meratap kekurangan itu dan ini, sekarang semuanya terasa cukup. Malah, boleh dikongsi rasa juga dengan mereka. Kami bersyukur kepada tuhan atas segala rahmat dan kasih sayang itu. Diam-diam kami mengikat janji, kami akan menjaga anak-anak bulus itu sampai bila-bila.
Dulu sekadar berlima. Sekarang, ahli keluarga mereka menambah bilangan dengan gandaan yang luar biasa banyaknya. Kadang-kadang ibu kami bising-bising juga. Keturunan anak-anak bulus itu manja-manja, cantik-kacak belaka, namun ada juga yang nakal perilakunya.
Dalam rumah besar berpintu tegap itu (jauh lebih tegap berbanding pintu yang diketuk oleh Timah suatu ketika dahulu), kami membesar bersama-sama, di bawah rahmat tuhan Yang Esa.
No comments:
Post a Comment