“Ayah, saya keluar dulu.”
“Kamu nak ke mana? Kebelakangan ini kamu tak pernah lekat di rumah. Seharian bermain. Kerja sekolah sudah buat?”
“Sudah, ayah.”
Terry hanya memandang langkah laju anak lelakinya. Dia hanya mampu mengelengkan kepala.
“Apa nak jadi dengan kamu, Isaac. Semakin besar, semakin tidak mendengar kata.” Monolog Terry sendiri. Cuaca hari itu agak panas. Terry hanya berbaju singlet. Isterinya belum pulang dari kedai.
“Anak dengan emak sama sahaja...” rungutnya lagi.
Mentari memancarkan cahaya lalu mendatangkan bahang yang sangat panas. Isaac mengesat peluh yang mengalir di pipi dengan hujung lengan bajunya. Langkahnya diteruskan. Rumah Syakirin masih jauh di depan.
“Eh, Isaac! Mahu ke mana?” sapa Dollah yang berbasikal jauh lebih besar daripada tubuhnya sendiri itu. Isaac tersenyum-senyum. Loceng basikal Dollah dipulasnya beberapa kali.
“Aku nak jumpa Syakirin,” Jawab Isaac sambil mengesat peluhnya. Kulitnya terbakar kemerahan.
"Nak jumpa Syakirin ke Fatiha?” usik Dollah. Dia tersengih-sengih sendiri. Isaac menelan air liurnya. Mata Dollah ditentangnya geram.
“Kenapa kamu cakap begitu? Aku nak jumpa Syakirin. Petang ini kami nak main bola.”
“Ye ke? Hehe... aku gurau je lah. Boleh aku ikut?”
“Jom lah. Lagi ramai, lagi seronok. Jadi, kamu tumpangkan aku naik basikal besar kamu ni. Penatlah berjalan.”
“Boleh... perkara kecil.”
Waktu yang dijanjikan tiba juga. Syakirin muncul seorang diri di padang. Isaac tertinjau-tinjau mencari susuk tubuh yang dirinduinya.
“Hmmm... kenapa Fatiha tak ikut pula petang ni? Sia-sia sahaja...” Isaac menendang batu di kakinya. Lagaknya sungguh-sungguh seperti orang yang sedang kecewa.
“Isaac! Awal sampai?” sapa Syakirin sambil menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu. Syakirin tua 3 tahun daripada Isaac. Dalam ramai-ramai mereka berkawan, Syakirinlah yang paling tua. Maka, secara autoritinya Syakirin dianggap sebagai ketua.
“Aku bosan di rumah. Jadi aku datang awal sikit. Dollah pun ada.”
Isaac menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Ternyata dia tidak gembira dengan jawapannya sendiri. Dia tahu dan sedar, niatnya datang bukan untuk bermain bola seperti selalu. Tapi untuk berjumpa Fatiha. Gadis berhidung mancung dan penuh sopan santun itu benar-benar telah mencuri hatinya.
“Bagus. Jom kita warming up! 15 kali pusingan. Cukup?” Syakirin memang seorang yang berdisiplin. Tak sia-sia mereka melantiknya menjadi ketua pasukan.
“Cukup. Nanti rasa tak cukup, kita tambah lagi satu pusingan.”
Rama, satu-satunya rakan mereka yang berbangsa India itu tiba-tiba menyampuk. Syakirin mengangguk setuju. Larian di mulakan. Isaac terasa seperti mahu menangis ketika itu. Dia paling tidak suka memaksa dirinya untuk melakukan sesuatu yang bukan kehendaknya. Tetapi Dollah berlari di sebelahnya. Mahu tidak mahu, Isaac terpaksa berlakon seperti tiada apa yang sedang mengganggunya.
“Fahmi, kamu jadi penjaga gol hari ini. Roslan sakit perut. Isaac, hari ini kamu pemain simpanan. Aku nak tengok skill Dollah bermain.”
Semua orang hanya mengangguk dan mengiyakan arahan Syakirin. Isaac melabuhkan punggungnya di tepi padang. Dia memeluk lututnya. Ahh... kedamaian petang itu tidak terkesan langsung di hatinya. Camar terbang rendah di kanan padang lalu hinggap sambil mengepak-ngepakkan sayapnya. Isaac hanya melemparkan pandangan kosong.
Syakirin berlari lincah di tengah padang. Jarang budak-budak itu berjaya merebut bola dari kakinya. Dia memang seorang pemain yang hebat. Tak hairanlah kalau dia terpilih untuk menyertai pasukan bola sepak sekolah. Selain handal bermain bola, Syakirin juga seorang pelajar yang bijak. Dia ada segala-galanya. Bakat, bijak dan rupa paras yang segak.
Isaac mengeluh. Dia tidak sehandal Syakirin ketika bermain bola. Tendangannya sentiasa tersasar. Dia juga sederhana dalam pencapaian akademik. Rupa? Ahhh... siapa saja yang akan mengatakan bahawa mata sepet itu kacak? Mungkin Isaac akan ketawa terbahak-bahak.
“Err... Isaac...”
Tegur seseorang. Isaac sangat kenal akan suara itu. Dengan gopoh dia bangkit. Seperti biasa, dia menggaru kepalanya.
“Fatiha! Saya ingat awak tak akan datang...” ujar Isaac dalam nada suara yang terketar-ketar. Senyuman yang terukir di bibir kecil Fatiha melemahkan lututnya.
“Saya datang sekadar untuk menghantar botol air abang. Dia tertinggal di tangga rumah. Mungkin waktu dia duduk mengikat tali kasut tadi. Erm, boleh awak bagi kat abang?”
“Ya, ya! Boleh! Saya akan bagi...” Isaac gembira. Matanya terus hilang dalam senyuman yang tidak putus-putus. Kelakuan Isaac menyebabkan pipi Fatiha merona kemerahan.
“Awak tak main hari ini?” Fatiha cuba memecah ketidakselesaan itu.
“Oh, abang awak suruh saya berehat. Dollah ganti saya.”
“Kenapa? Awak tak sihat?”
“Eh, bukan. Dollah pemain baru. Abang awak mahu menguji kemampuannya.”
Diam. Kedua-dua mereka mati bicara. Isaac terkulat-kulat. Berdebar-debar. Gelisah pun ada. Fatiha duduk di sebelahnya. Gadis itu hanya mendiamkan diri juga. Dia agak leka memerhatikan larian abangnya di tengah padang.
Syakirin terpandang adiknya. Dia mengarahkan permainan diberhentikan seketika. Dengan termengah-mengah dia datang mendekati Fatiha dan Isaac. Dia bermandikan peluh. Bajunya lecun. Tiada sudut yang kering.
“Adik buat apa kat sini?” tanyanya.
“Tu, botol air abang. Tertinggal. Ibu yang suruh adik hantarkan.”
Isaac menghulurkan botol air ke tangan Syakirin. Syakirin mengucapkan terima kasih.
“Isaac, lepas ni kamu main. Kaki Rama luka tersepak batu. Itulah, berpuluh-puluh kali aku pesan. Pakai kasut, pakai kasut. Tapi tak pernah nak ikut.” bebel Syakirin.
“Kesian Rama. Serius ke luka itu?” Fatiha bertanya. Sikap ambil beratnya itu menyebabkan Isaac dijulang api cemburu. Perasaannya tiba-tiba terganggu.
“Alaa.. anak jantan. Mesti tak sakit sangatlah.” Jawapan itu lebih ke arah untuk menyedapkan hatinya sendiri. Fatiha hanya tersenyum mendengar kata-kata Isaac.
“Tapi abang menangis kuat ketika kakinya terseliuh," Fatiha ketawa kecil sambil bertepuk tangan. Aduh. Hati Isaac sungguh berbunga dengan gelak ketawa itu. Dia benar-benar telah jatuh cinta.
“Adik, tu lain. Kaki abang terseliuh teruk, tau.” Syakirin membela dirinya tetapi hanya disambut dengan gelak ketawa Fatiha dan Isaac.
“Eh, bila lagi kita mahu bermain polis dan penjahat? Aku dah buat pistol kotak baru tempoh hari. Best..”
Itulah kelebihan Isaac. Pandai membuat pistol, beg, walkie-talkie.... semuanya daripada kotak terpakai dari kedai emaknya!
“Esok. Esok kan cuti? Datanglah ke rumah aku. Aku tunggu.”
“Abang, adik nak ikut main...”
“Urmm... baiklah. Kita main sama-sama.”
Esok yang ditunggu akhirnya menjelma. Pagi-pagi lagi Isaac telah bersiap. Dia memasukkan 7 pucuk pistol kotak yang dibuatnya ke dalam beg. Setelah itu, dia turun ke bawah kerana ayahnya sudah beberapa kali menjerit supaya dia bersarapan.
“Makan habis makanan kamu. Kamu sungguh kurus!” marah Jessica. Isaac hanya buat tidak tahu. Geram juga hatinya melihat kelakuan Isaac.
“Kamu dengar tak apa emak kamu cakap?” tiba-tiba Terry yang duduk berhadapan dengan anaknya itu masuk campur. Kunyahannya terhenti. Baginya sikap Isaac itu biadap.
“Ayah, saya belum pekak lagi...” sia-sia menjawab. Jawapan itu hanya mengundang marah di hati Terry.
“Sejak bila kamu pandai menjawab ni?!” soalan itu berbaur tengkingan. Isaac berhenti mengunyah juga. Jessica hanya terbeliak.
“Sudah, sudah. Tak baik bertengkar depan makanan. Isaac, makan habis makanan kamu.”
Isaac mengunyah semula rotinya setelah selesa dengan usapan oleh emak di belakangnya. Ayahnya berhenti membebel. Dia mengangkat surat khabar tinggi-tinggi sehingga tersembunyi wajah Isaac. Anak itu... betul-betul telah menyebabkan dia marah.
Setelah selesai bersarapan, Isaac menggalas begnya.
“Mak, saya keluar ke rumah kawan dulu. Ada study group.”
“Tengah hari nanti balik makan. Jangan menyusahkan keluarga kawan kamu. Kamu faham?”
“Ya...”
Isaac terus lesap dalam kicauan burung pagi yang meriah.
Pagi masih muda. Embun berkilau-kilauan dipanah cahaya mentari pagi yang galak. Di kiri dan kanan jalan gah berdiri pohon-pohon getah yang tekun memuntahkan susu bernilai buat penoreh yang sabar menunggu. Itik-itik milik Hj Kasim merayau-rayau mencari makanan bercampur harmoni bersama ayam-ayam milik Pak Teh. Entah apa yang dibualkan oleh binatang-binatang itu. Bunyinya sungguh meriah.
Isaac sudah terpacak di hadapan tangga rumah Syakirin. Tidak kelihatan bayang-bayang sesiapa pun ketika itu. Isaac serba salah.
“Aku datang awal sangat ke?” tanyanya kepada diri sendiri. Dia mendengus malas. Niat hatinya mahu beredar sebelum kedengaran suara ibu Syakirin memanggilnya.
“Hai, Isaac! Nak ke mana kamu awal-awal pagi begini?” laung Puan Zahrah, menyangka Isaac hanya lalu di hadapan rumahnya. Isaac melemparkan senyuman kecil.
“Saya nak jumpa Syakirin. Semalam kami berjanji nak bermain bersama-sama pagi ni. Saya lihat tak ada orang jadi ingat nak balik sahaja.”
Mendengar itu, Puan Zahrah ketawa kecil. Kasihan pula hatinya melihat wajah Isaac. Dia kenal benar dengan keluarga Isaac. Malah, dia merupakan pelanggan tetap di kedai runcit milik keluarga Isaac. Keluarganya sungguh berbudi pekerti. Itu yang diwarisi Isaac apabila berhadapan dengan orang tua. Sangat pandai menjaga adabnya.
“Syakirin masih berselimut di biliknya. Kasihan kamu..”
“Oh... kalau begitu tak apalah. Saya balik dulu. Mak cik tolong bagi tahu Syakirin, nanti saya datang lagi.”
“Eh, naik la dulu. Bersarapan. Fatiha dah buat karipap. Kamu patut rasa.”
Pelawaan itu Isaac sambut dengan senyuman yang terukir lebar di bibirnya. Dia naik ke rumah tanpa banyak bicara. Ini memang bukan kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah Syakirin. Namun semenjak berperasaan terhadap Fatiha, hatinya sentiasa berdebar.
Dia duduk di kerusi meja makan itu. Kaku. Tidak bergerak-gerak. Hanya matanya meliar mencari susuk tubuh Fatiha. Seketika kemudian datang puan Zahrah berlenggang-lenggang menatang dulang berisi cawan dan seteko teh panas. Selepas menuang penuh 4 cawan tersebut, dia menyuruh Isaac minum.
“Adik, mana karipapnya?” laung puan Zahrah.
Serentak itu, datang Fatiha membawa sepinggan karipap yang masih panas. Mata Isaac tidak berkelip sekalipun.
“Pergi bangunkan abang. Ajak bersarapan bersama-sama. Ha, Isaac. Tunggu apa lagi? Jemput makan,”
Isaac mengangguk. Seketul karipap dicapai lalu digigitnya rakus. Namun kunyahannya sengaja diperlahankan. Menikmati. Ya! Menikmati.
Syakirin muncul dengan wajah serabai dan mamai. Dia menyapa Isaac dengan senyuman basi.
“Awal kamu sampai. Aku belum puas bermimpi.” Ujar Syakirin lalu mengambil tempat duduk di antara Isaac dan adiknya. Tangannya pantas mencapai karipap yang masih panas itu lalu disumbatnya ke dalam mulut.
“Aku ada bawa peralatan kita,” kata Isaac lalu membuka beg galasnya.
“Eh, eh... nanti. Sarapan dulu.” Tegur Syakirin. Muka Isaac merona kemerahan. Dia malu dengan tindakannya yang tergopoh-gopoh itu. Beg itu ditutupnya semula.
“Abang, nanti adik boleh ikut main, kan?” Fatiha cuba mengingatkan abangnya tentang janjinya semalam. Syakirin hanya mengangguk. Fatiha melirik ke arah Isaac. Isaac senyum sahaja.
“Hati-hati. Jangan berkasar dengan adik kamu.”
“Mak, abang tahu lah. Adik abang ni baik, dengar kata. Tak ada sebab abang nak berkasar dengan adik. Melainkan si Isaac ni... ha, Isaac! Kamu buat Fatiha jatuh parit lagi, jaga kamu.”
Isaac tersedak dengan amaran Syakirin. Kerongkongnya terasa perit kerana dipenuhi karipap yang sedang dikunyahnya. Mereka sekeluarga ketawa geli hati.
“Apa lah abang ni. abang tak payah bagi amaran. Adik pun dah serik membonceng basikal dengan Isaac. Nanti jatuh parit lagi,”
Isaac menunduk ke lantai. Teringat semula akan peristiwa minggu lepas. Oleh sebab ingin menunjuk-nunjuk kepada Fatiha, basikal mereka terhumban ke dalam parit. Fatiha menangis. Itulah kali pertama Isaac melihat tangisannya. Dia rasa sangat bersalah. Beberapa hari dia terperuk di dalam biliknya. Malu bukan kepalang. Kalau tidak kerana Syakirin sendiri yang datang ke rumah untuk mengajaknya bermin bola, sudah tentu dia masih berkurung sekarang. Dia tidak mampu hendak berhadapan dengan Fatiha. Disebabkan kecuaiannya, Fatiha jatuh parit.
Isaac sempat membantu Syakirin menyapu halaman rumah sebelum permainan mereka dimulakan. Abu, Rama dan Fahmi datang. Roslan, Usop, Rudi dan adiknya, Rosnah, juga datang. Syakirin masih memegang watak ketua. Di mana-mana pun, Syakirin ialah ketua. Dia dihormati. Mereka menyenangi caranya. Segala arahan dan nasihatnya dipatuhi.
“Baiklah, sepuluh orang. Umm...Isaac, Rudi, Abu, dan... Rosnah. Masuk kumpulan aku. Rama, Tiha, Fahmi, Roslan dan Usop, kumpulan yang lain. Sekarang, cabut lidi kat tangan aku ni, panjang jadi komando, pendek jadi penjahat.”
Isaac mencebik ketika mendengar nama Fatiha tidak sekumpulan dengannya. Dia memandang Syakirin dengan pandangan kurang puas hati. Kecewa, Syakirin tidak memahami pandangannya itu. Syakirin berbisik sesuatu kepada Usop. Usop mengangguk-ngangguk ketika Syakirin menepuk bahunya. Dalam dada Isaac terjulang api cemburu yang meluap-luap. Dia tahu apa yang mereka bisikkan. Syakirin memberitahu Usop supaya menjaga Fatiha untuknya. Hatinya sakit ketika melihat senyuman yang terukir pada wajah Usop. Dia sedar, Syakirin menyukai Usop. Usop kira orang kanan. Dia pandai mengambil hati ketua. Isaac hanya berdiam diri. Geram. Marah. Rendah diri. Semua ditelannya bulat-bulat.
Setelah undian dibuat, pasukan Syakirin menjadi komando. Mereka bermain bersungguh-sungguh. Buktinya, tidak terasa hari semakin petang. Matahari sudah mengufuk ke barat. Komando dan penjahat itu sama-sama kelaparan. Sangat-sangat lapar.
“Syakirin, aku balik dulu. Nak makan. Lapar.”
“Aku pun. Nanti kita main lagi. Rosnah, jom.”
Rama, Rudi dan Rosnah berlalu setelah melambai-lambaikan tangan untuk mengucapkan selamat tinggal.
“Adik balik dulu. Kejap lagi abang balik.”
Tanpa bantahan, Fatiha meninggalkan sisa-sisa ahli kumpulan sepermainannya yang sedang duduk berehat di bawah pokok pisang itu. Isaac menghantar pemergiannya dengan perasaan bercampur-campur.
“Syakirin, boleh aku hantar Fatiha balik?”
Argh! Tersekat dikerongkongnya sahaja. Tidak mampu dilafazkan. Ketika Isaac masih terkulat-kulat, Fatiha sudah hilang dari pandangan. Isaac mendengus. Kesal dengan dirinya.
“Eh, jom kita buat satu lagi game. Jom ikut aku.”
Roslan, Isaac, Usop, Abu dan Fahmi menurut langkah Syakirin menuju ke sepohon pokok getah tua yang berdekatan. Mereka masih samar-samar dengan permainan yang dimaksudkan. Apa yang Syakirin sedang rencanakan? Pokok getah tua? Tidak mungkin bermain panjat-panjat? Atau beradu tenaga untuk menumbangkan pokok? Namun seketika kemudian, segala persoalan yang berlegar-legar dalam kepala mereka itu terjawab.
“Aku nak, setiap orang ambil seketul batu.”
Mereka mengambil batu seperti yang diminta. Arahan seterusnya muncul.
“Bagus. Sekarang, jom tulis nama budak perempuan yang kamu suka pada batang pokok ni.”
Mereka terlopong dengan arahan yang mereka dengar. Syakirin sudah siap mengukir nama gadis yang difikirkannya. Seperti yang dijangka, Hanisa yang juga rakan sekelasnya itu menjadi pilihan.
Melihat itu, Abu, Usop, Fahmi dan Roslan mencari ruang lalu mula mengukir nama gadis yang mereka sukai. Isaac masih terpinga-pinga.
“Apa aku nak buat..? Tak kan aku nak tulis nama Fatiha? Nanti apa pula kata Syakirin?”
Dengan hati yang berat, Isaac mengambil ruang di sebelah Abu. Tangannya menggeletar. Tulis atau tidak? Tulis? Tidak? Argghh!!!
Ketika itu, hatinya luluh melihat hasil ukiran Usop. Nama Fatiha. Dan tanpa segan silu Usop menunjukkan hasil ukirannya kepada Syakirin. Syakirin hanya ketawa.
Tidak semena-mena Isaac terasa ingin menangis. Hatinya panas. Ingin meraung pun ada juga. Dalam perasaan marah dan kecewa, dia mula menggores batang pokok getah tua itu dengan batu di tangannya. Ling Lian. Dia tidak sanggup melihat nama itu. Tapi digoresnya hingga siap juga.
“Ling Lian?? Anak pak cik Ah keong yang jual ikan tu?? Wah, sejak bila???” usik Usop. Telinga Isaac membara. Bibirnya mengukir senyuman pahit. Hatinya terasa sangat sakit. Dia menggenggam jari-jemarinya. Kalau diikutkan hatinya yang sedang marah itu, Usop sudah dilanyaknya. Atau... dia yang dilanyak? Hurm... Usop bukan lawan yang padan. Badan Usop yang tegap menyebabkan Isaac melupakan hajatnya. Lagipun, syakirin sudah tentu tidak menyukai tindakan itu.
“Dah. Jom balik!”
Isaac berlari balik ke rumah. Air matanya mengalir deras. Malam itu dia terus tertidur.
Itulah kali terakhir Isaac daang bermain bersama Syakirin dan rakan-rakan yang lain. kini, dia lebih suka menghabiskan masanya dengan membantu ibunya menjaga kedai. Hari berganti hari, masa terus berlalu pergi.
Seperti baru semalam peristiwa menyakitkan itu berlaku. Ironinya, sudah 10 tahun kampung itu Isaac tinggalkan. Dia kembali dengan kenangan yang masih segar dalam fikirannya. Wajah kota dan banglo mewah abangnya langsung tidak dapat memadamkan kenangan itu. Kepulangan itu disambut dengan pelbagai perubahan. Tidak sama seperti zaman kanak-kanaknya. Sebahagian besar tempat permainannya sudah tiada. Begitu juga teman-temannya. Tiada seorang pun yang berada di sisinya ketika itu. Dengar kata keluarga Syakirin telah berpindah ke Muar 3 tahun lepas.
Cuma, satu yang masih berada di situ. Pokok getah tua itu sungguhpun sudah tidak berdaun lebat, masih terpacak di situ. Isaac melihat semula nama gadis-gadis yang menjadi pujaan hati teman-temannya. Nama Ling Lian juga masih boleh dibaca. Tiba-tiba dia terpandang akan nama Fatiha. Perasaannya berubah.
Prakkk!!!
Dengan satu tendangan sahaja, pokok tua itu tumbang menyembah tanah. Isaac terkejut sebelum berlari mencari jalan pulang. Kakinya tersadung pada akar kayu lalu terjatuh ke dalam parit di mana dia dan Fatiha pernah terhumban suatu masa dahulu...