Aku tidak akan lupa perjalanan aku ke sekolah bersama emak pada suatu pagi. Sebelah tangan emak memimpin tangan aku, sebelah lagi memegang lengan Adnan. Pagi ini emak sungguh sibuk. Selepas bersarapan nasi goreng kosong berlaukkan ikan kering, emak menyuruh aku bersiap dengan lebih cepat. Aku mengambil beg sekolah, membetulkan dua buah buku panjang yang terkeluar menyebabkan beg itu tidak dapat ditutup, lalu menggalasnya.
Beg itu bukan beg baru. Tahun lepas, aku memakainya ke kelas tadika. Buku-buku kelas tadika semuanya kecil. Apabila naik darjah satu, ada buku teksnya yang panjang, ada pula yang lebih besar dari beg itu. Aku terpaksa membawanya di tangan. Emak pujuk aku. Dia berjanji akan membeli beg lain kalau dia ada duit nanti. Aku tahu emak berjanji hanya untuk menyedapkan hati aku. Aku tahu semua susah payah emak mencari duit. Membeli beg itu seakan-akan mengorbankan beberapa periuk nasi untuk beberapa hari.
Matahari sudah naik dan terasa suam. Inilah kali pertama aku berjalan jauh hingga ke kampung Hulu. Rumah pusaka nenek sebelah emak nun di kampung Hilir. Emak membuat rumah baharu di tanah datuk sebelah bapak. Plot tanah sekangkang kera itu berada di belakang rumah separa simen dua tingkatnya. Datuk ketua kampung di kampung Tengah itu. Kata emak, emak kandung bapak sudah meninggal dunia. Yang ada sekarang, ibu tirinya.
Nenek tiri itu lagaknya macam orang berada. Dia tidak suka kami bertandang ke rumahnya. Pernah, kami diusir pulang. Kami dipanggil anak Somalia kerana kulit kami hitam seperti bapak, baju kami berpasing-pasing hingga bertahun-tahun tidak berganti. Macam anak Somalia. Mungkin sebab kami anak miskin. Dia tuduh kami datang untuk mencuri barang di kedai runcitnya. Datuk tidak pernah membela kami. Padahal anak bongsunya, Ucu Idah sebaya Aziz. Kami ke situ kerana kasihankan Ucu Idah tiada kawan bermain.
Aku masih ingat dengan jelas riak muka orang tua itu, memandang kami penuh jijik. Kata-katanya masih terngiang-ngiang, sakitnya turun ke hati. Sekecil itu, aku sudah mengerti. Aku tidak lagi menginjak rumahnya. Adik-adik juga begitu. Mereka mengangguk faham apabila aku memberi sebab mengapa kami tidak boleh lagi bermain dengan Ucu Idah.
Ketika kami sampai di pekarangan sekolah, masih belum terlalu banyak orang yang berkumpul. Aku lihat ada muka-muka yang aku kenal dari kelas tadika tahun lepas. Mereka berdiri di samping ibu bapa masing-masing. Emak menunduk membetulkan tudung putih yang aku pakai.
“Mana kawan kau, kak?” Tanya emak tiba-tiba, sambil menarik anak tudung aku lebih ke belakang kepala. Aku meninjau-ninjau. Kemudian, aku terpandang mak cik Anum.
“Mak, tu mak cik Anum,” soalan emak sengaja aku abaikan kerana mak cik Anum sudah datang mendekat. Khalid berjalan lambat-lambat di belakangnya.
“Kelas apa kau, Nin?” Mak cik Anum menyalami emak, namun matanya melihat aku. Aku mencium tangannya sambil Khalid mencium tangan emak.
“Kelas 1 Melati, kak. Khalid kelas apa?” Emak menjawab bagi pihak aku. Aku menyuruh Adnan bangun dari lantai gelanggang untuk bersalam dengan mak cik Anum dan abang Khalid. Adnan patuh.
“Khalid kelas 1 Mawar. Tak sama kelaslah mereka,”
“Ya, kak. Lepas ni nk pegi daftar Khalida, kan? Semalam dah tanya cikgu tadika kampung Hilir, dia kata dah penuh,”
Mendengar nama Khalida, anak mata Adnan jadi bersinar-sinar. Mereka sebaya namun sejak berpindah ke kampung Tengah, dia sudah tidak dapat lagi bermain dengan Khalida dan Noren. Noren, anak mak cik Juma. Mak cik Juma kakak emak juga. Oh, Hazizul, anak mak cik Asmah. Dan tak lupa, Kayum, anak mak cik Tijah. Mak cik Tijah, mak cik Asmah, mak cik Juma, mak cik Anum dan emak, adik-beradik. Mereka mengandung serentak menyebabkan Adnan mempunyai 4 orang sepupu sebaya. Adnan paling bangga. Aku hanya ada Khalid. Khalid tidak berapa mahu bermain dengan budak perempuan. Jadi, aku tidak begitu mesra dengannya.
“Kak Tijah sempat daftar Kayum kat tadika Hilir tu, dia kenal cikgunya. Siang-siang lagi orang tua tu dah menyogok hantar barang ke sana. Kau tunggu kak Juma sampai. Batang hidung kembangnya pun tak nampak lagi,”
Hah. Satu pasal mak cik Anum yang aku sudah terbiasa, mulutnya sangat lancar mengata. Entah apa pula dia mengata emak kepada orang lain. Kakak sulung emak, mak cik Tijah ada kedai runcit. Oleh sebab emaknya berduit, Kayum agak sombong. Dia tidak berapa mahu bergaul dengan sepupu-sepupu yang lain.
“Kak Asmah jadi ke nak nyekolahkan Hazizul dengan budak-budak ni?” Tanya emak lebih lanjut.
“Mana nya… Daud tak bagi. Hazizul sekolah saja di Bakaligan,”
Pak cik Daud mengajar di Bakaligan. Sudah tentu Hazizul disekolahkan di sana saja. Aku faham.
Berbalik kepada sesi pendaftaran darjah satu itu, aku akhirnya ditinggalkan sahaja di sekolah. Emak mengikut mak cik Anum dan mak cik Juma ke tadika yang terletak tidak jauh dari sekolah rendah ini. Selepas bersalaman sekali lagi, aku melambai lemah. Dalam hati, ada perasaan kusut. Khalid sudah menghilang. Aku berdiri sendirian di situ. Kemudian, aku terlihat Zubedah. Badannya yang gedempol tak tersembunyikan oleh kelompok orang yang semakin ramai berkumpul di gelanggang itu.
Kami sekelas tahun lepas. Aku harap, Zubedah mahu berkawan lagi untuk tahun ini.