• ROJAK KATA

    Jika dunia ini bulat, tak salah untuk mimpikan kotak segi empat.

  • HARUS BAGAIMANA LAGI AKU?

    Aku dan engkau, berdiri di dua hujung satu garisan berliku. Jarak yang terlalu jauh hendakku berjalan, namun terlalu dekat untukku berlari.

  • MALAM DAN ENGKAU DAN AKU

    Aku mencongak waktu yang pergi, membawa aku datang kepada engkau, bila malam semakin jauh.

  • SENDIRI DAN SEPI

    Duduk sendiri jarang berjaya menghadirkan rasa sepi dalam hati. Malah, sendiri mendatangkan tenang dan aku senang dengan ketenangan itu.

  • BAYANG GELAP

    Dia tetap jatuh bangun bersama aku, tetap berjalan dan berlari bersama, tetap pegun melihat aku ketawa, tetap juga pegun melihat aku menangis.

BEG SEKOLAH PERTAMA


   Aku tidak akan lupa perjalanan aku ke sekolah bersama emak pada suatu pagi. Sebelah tangan emak memimpin tangan aku, sebelah lagi memegang lengan Adnan. Pagi ini emak sungguh sibuk. Selepas bersarapan nasi goreng kosong berlaukkan ikan kering, emak menyuruh aku bersiap dengan lebih cepat. Aku mengambil beg sekolah, membetulkan dua buah buku panjang yang terkeluar menyebabkan beg itu tidak dapat ditutup, lalu menggalasnya. 

    Beg itu bukan beg baru. Tahun lepas, aku memakainya ke kelas tadika. Buku-buku kelas tadika semuanya kecil. Apabila naik darjah satu, ada buku teksnya yang panjang, ada pula yang lebih besar dari beg itu. Aku terpaksa membawanya di tangan. Emak pujuk aku. Dia berjanji akan membeli beg lain kalau dia ada duit nanti. Aku tahu emak berjanji hanya untuk menyedapkan hati aku. Aku tahu semua susah payah emak mencari duit. Membeli beg itu seakan-akan mengorbankan beberapa periuk nasi untuk beberapa hari.

    Matahari sudah naik dan terasa suam. Inilah kali pertama aku berjalan jauh hingga ke kampung Hulu. Rumah pusaka nenek sebelah emak nun di kampung Hilir. Emak membuat rumah baharu di tanah datuk sebelah bapak. Plot tanah sekangkang kera itu berada di belakang rumah separa simen dua tingkatnya. Datuk ketua kampung di kampung Tengah itu. Kata emak, emak kandung bapak sudah meninggal dunia. Yang ada sekarang, ibu tirinya.  

    Nenek tiri itu lagaknya macam orang berada. Dia tidak suka kami bertandang ke rumahnya. Pernah, kami diusir pulang. Kami dipanggil anak Somalia kerana kulit kami hitam seperti bapak, baju kami berpasing-pasing hingga bertahun-tahun tidak berganti. Macam anak Somalia. Mungkin sebab kami anak miskin. Dia tuduh kami datang untuk mencuri barang di kedai runcitnya. Datuk tidak pernah membela kami. Padahal anak bongsunya, Ucu Idah sebaya Aziz. Kami ke situ kerana kasihankan Ucu Idah tiada kawan bermain. 

    Aku masih ingat dengan jelas riak muka orang tua itu, memandang kami penuh jijik. Kata-katanya masih terngiang-ngiang, sakitnya turun ke hati. Sekecil itu, aku sudah mengerti. Aku tidak lagi menginjak rumahnya. Adik-adik juga begitu. Mereka mengangguk faham apabila aku memberi sebab mengapa kami tidak boleh lagi bermain dengan Ucu Idah.

    Ketika kami sampai di pekarangan sekolah, masih belum terlalu banyak orang yang berkumpul. Aku lihat ada muka-muka yang aku kenal dari kelas tadika tahun lepas. Mereka berdiri di samping ibu bapa masing-masing. Emak menunduk membetulkan tudung putih yang aku pakai.

    “Mana kawan kau, kak?” Tanya emak tiba-tiba, sambil menarik anak tudung aku lebih ke belakang kepala. Aku meninjau-ninjau. Kemudian, aku terpandang mak cik Anum.

    “Mak, tu mak cik Anum,” soalan emak sengaja aku abaikan kerana mak cik Anum sudah datang mendekat. Khalid berjalan lambat-lambat di belakangnya.

    “Kelas apa kau, Nin?” Mak cik Anum menyalami emak, namun matanya melihat aku. Aku mencium tangannya sambil Khalid mencium tangan emak.

    “Kelas 1 Melati, kak. Khalid kelas apa?” Emak menjawab bagi pihak aku. Aku menyuruh Adnan bangun dari lantai gelanggang untuk bersalam dengan mak cik Anum dan abang Khalid. Adnan patuh.

    “Khalid kelas 1 Mawar. Tak sama kelaslah mereka,”

   “Ya, kak. Lepas ni nk pegi daftar Khalida, kan? Semalam dah tanya cikgu tadika kampung Hilir, dia kata dah penuh,” 

    Mendengar nama Khalida, anak mata Adnan jadi bersinar-sinar. Mereka sebaya namun sejak berpindah ke kampung Tengah, dia sudah tidak dapat lagi bermain dengan Khalida dan Noren. Noren, anak mak cik Juma. Mak cik Juma kakak emak juga. Oh, Hazizul, anak mak cik Asmah. Dan tak lupa, Kayum, anak mak cik Tijah. Mak cik Tijah, mak cik Asmah, mak cik Juma, mak cik Anum dan emak, adik-beradik. Mereka mengandung serentak menyebabkan Adnan mempunyai 4 orang sepupu sebaya. Adnan paling bangga. Aku hanya ada Khalid. Khalid tidak berapa mahu bermain dengan budak perempuan. Jadi, aku tidak begitu mesra dengannya.

    “Kak Tijah sempat daftar Kayum kat tadika Hilir tu, dia kenal cikgunya. Siang-siang lagi orang tua tu dah menyogok hantar barang ke sana. Kau tunggu kak Juma sampai. Batang hidung kembangnya pun tak nampak lagi,”

    Hah. Satu pasal mak cik Anum yang aku sudah terbiasa, mulutnya sangat lancar mengata. Entah apa pula dia mengata emak kepada orang lain. Kakak sulung emak, mak cik Tijah ada kedai runcit. Oleh sebab emaknya berduit, Kayum agak sombong. Dia tidak berapa mahu bergaul dengan sepupu-sepupu yang lain.

    “Kak Asmah jadi ke nak nyekolahkan Hazizul dengan budak-budak ni?” Tanya emak lebih lanjut.

    “Mana nya… Daud tak bagi. Hazizul sekolah saja di Bakaligan,” 

    Pak cik Daud mengajar di Bakaligan. Sudah tentu Hazizul disekolahkan di sana saja. Aku faham. 

    Berbalik kepada sesi pendaftaran darjah satu itu, aku akhirnya ditinggalkan sahaja di sekolah. Emak mengikut mak cik Anum dan mak cik Juma ke tadika yang terletak tidak jauh dari sekolah rendah ini. Selepas bersalaman sekali lagi, aku melambai lemah. Dalam hati, ada perasaan kusut. Khalid sudah menghilang. Aku berdiri sendirian di situ. Kemudian, aku terlihat Zubedah. Badannya yang gedempol tak tersembunyikan oleh kelompok orang yang semakin ramai berkumpul di gelanggang itu.

    Kami sekelas tahun lepas. Aku harap, Zubedah mahu berkawan lagi untuk tahun ini.


 

Share:

PESTA WAYANG BAYANG


     Selepas makan malam itu, kami empat beradik meniarap di ruang kecil rumah itu untuk menyiapkan kerja sekolah. Aku menyuruh Azizah membuat kerja kira-kira menggunakan lidi kecil yang dipatah-patahkan. Azizah tidak seperti Aziz. Kalau Aziz senang diajar, Azizah lebih suka melihat abang dan kakaknya belajar. Dia tidak mahu apabila disuruh menulis. Apatah lagi disuruh mengira, muncung mulutnya panjang sekali.

    Aku tidak mahu memaksanya. Perhatian aku teralih kepada Adnan. Adnan anak pintar. Apa yang aku tahu, semuanya dia mahu tahu juga. Ada kalanya, dia lebih jaguh daripada aku terutamanya dalam mata pelajaran matematik. Dia pula yang mengajar aku. Cikgu di sekolah jadi kehairanan. Ketika Adnan naik darjah satu, dia sudah mahir tulis baca kira. Dia hafal semua karangan, cerita dan lirik lagu yang ada dalam buku teks darjah satu. Dia membaca semua buku aku pada tahun lepas. Dia sudah kenal semua nombor, semua abjad, semua huruf jawi. Lidahnya lancar membaca, mengaji. Buku-buku sekolah aku semua dia baca walaupun ilmu tersebut terkedepan daripada umurnya. Begitulah pintarnya Adnan.

    Antara kami berempat, Adnanlah yang paling banyak cara. Ada saja olahannya setiap hari. Mungkin kerana dia anak pintar, cara berfikir kami jauh tak sama. Aku selalu memilih cara dan jalan selamat, tanpa perlu aku menghadap mana-mana tingkah orang selepas itu. Adnan lain. Dia kata, dia suka cabaran. Mari cuba semua perkara baharu, kita langgar semua “jangan”. Yang kita bilang “jangan buat!”, itulah yang akan dibuatnya. Dia mahu cari tahu sendiri semua perkara.

    Emak muncul dari ruang dapur. Tangan yang basah dilap pada kain batik lusuh yang dipakai. Dia kemudian menuju ke tepi dinding, tempat dia menggantung pelita minyak tanah cap amoi cina. Selepas menaikkan sedikit sumbu, emak nyalakan pelita itu dengan mancis kayu. Bau mancis kayu terbakar itu semerbak, ditambah pula dengan bau minyak tanah. Aku paling suka pada bau-bau itu. Aku menutup buku. Adnan yang sedang membaca melihat aku sejenak, sebelum ikut menutup buku. Semuanya seakan faham, waktu tidur telah tiba.

    Emak tak suka dibantah. Jam itu dia kata tutup buku, tidur, tidak pedulilah kerja rumah kau masih banyak yang perlu disiapkan, kau perlu bangkit tutup buku. Jadi, sebelum emak bersuara, eloklah semua orang bangkit. Ruang itu yang mulanya menjadi ruang santai waktu petang, menjadi tempat makan, dikemaskan menjadi tempat belajar, dan sekarang kami masing-masing membentang tilam bujang nipis, sekalian bantal tidur dan sehelai selimut. Kami masih berada di ruang yang sama. Hanya satu itu ruang yang ada, selain dapur dan bilik mandi.

    Emak membongkar sebuah kotak kecil. Kami yang sudah berbaring meninjau-ninjau mahu tahu. Kemudian, aku teringat. Tadi petang, emak ke kedai Pak Cik Chew. Dia berhutang lagi barang-barang basah kerana aku melihat dia membawa buku kecil 555 di dalam beg kecilnya. Selain sedikit barangan keperluan dapur, aku melihat kotak kecil itu dalam raganya. Apa yang emak beli dalam kotak itu? Lampu picit. Emak mengetuk lampu picit itu beberapa kali ke tapak tangannya. Lampu itu menyala terang. 

    “Jangan main lampu picit ni. Kita guna waktu kecemasan, buat suluh kalau keluar malam-malam. Jangan bazir bateri. Kita tak ada duit nk beli selalu,” kata emak. Dia meletak lampu picit itu di sebelah bantalnya. Dengan keluhan kecil, emak merebahkan kepala. Tidak lama selepas itu, dengkuran halusnya mula kedengaran.

    “Kak, Nan tak siap lagi keja bahasa Inggeris. Teman Nan buat,”

    Adnan berbisik dari dalam selimut. Aku mengeluh tidak percaya.

    “Habis tu tadi kau buat apa, Nan?”

    “Lupa, kak. Esok ada pulak kelas bahasa Inggeris. Miss Jun pukul kalau tak siap,”

    Dengan penuh kesal, aku bangkit perlahan-lahan. Adnan ikut bangkit. Dia mengensot ke tepi pintu mengambil beg sekolah lalu mengeluarkan buku. 

    “Kau buat apa, bang?”

    Ya tuhan. Rasa nak tercabut jantung. Aziz tiba-tiba bersuara. Di belakangnya, terkebil-kebil Azizah. Aku menepuk dahi. 

    “Kenapa bangkit? Pegi tidur!” Arahku separuh marah sambil berbisik. Aziz menjuihkan bibir. Azizah tersenyum-senyum. Ketika itu, aku langsung terlupa kepada Adnan.

    Ketika aku menoleh, pada tangannya, sudah tergenggam lampu picit. Dengan senyum senget yang amat aku fahami, Adnan memberi isyarat kepada Aziz dan Azizah supaya ke tepi dinding. Cahaya malap dari pelita minyak tanah menyukarkan aku meneka apa yang sedang dirancang oleh Adnan. 

    “Aku ada baca, kak. Dekat Malaya, kat Kelantan, orang sana pun tak tengok tv macam kita. Dia orang main wayang kulit,” terang Adnan, masih berbisik-bisik. Aziz dan Azizah ternganga-ngaga. Mereka berdua selalu kagum dengan kerja buat abang yang itu. Tidak seperti kakak, abang Nan selalu ajar perkara yang menarik!

    “Wayang tulit tu apa, bang?” Azizah yang pelat nampak semakin berminat, apatah lagi apabila Adnan mengambil selimut putih berbelang biru miliknya.

    “Pegang kain ni. Haa Aziz, kau pegang sebelah sana,”

    Aku menjadi pemerhati budak bertiga itu membahagi kerja sesama sendiri sambil memerhati emak. Aku sungguh risau kalau-kalau emak terbangun. Hendak dilarang? Jujur, aku pun berminat dengan kerja buat Adnan malam ni. Seperti biasa, anak pintar itu selalu mengejutkan aku dengan perkara-perkara yang aku tidak tahu.

    “Kak, sini!”

    Aku menurut seperti orang bodoh lalu duduk di tepi selimut yang direntang oleh Aziz dan Azizah. Aziz sungguh tekun memegang hujung selimut itu. Azizah pula seperti biasa… jarang fokus terhadap kerjanya. Dia lebih leka mengorek hidung.

    Adnan menghidupkan lampu picit lalu dikepit di bawah ketiaknya. Kemudian, dia menggerak-gerakkan jari. Bayang pada selimut yang direntang itu bertukar-tukar. Kami bertiga mendengar keletah dan cerita mengarut Adnan tentang perlumbaan udang dan semut merah sambil menahan ketawa. Sesekali, kami menoleh ke arah emak yang masih tertidur pulas membelakangi kami. Entah sudah berapa lama kami bermain wayang bayang itu, Azizah mula merengek mahu tidur. Aku bangkit mengajaknya kembali ke tempat tidur sambil memimpin Aziz. 

    “Kak, lampu suluh ni malap kenapa…?” Adnan masih dengan lampu suluhnya. Aku cepat-cepat merampas lampu suluh itu dan meletakkannya semula di sisi bantal emak. Adnan yang gelisah pun cepat-cepat ke tempat tidur lalu berselubung.

    Esoknya, tiada siapapun membuka cerita tentang wayang bayang itu. Emak belum tahu tentang lampu picitnya yang malap. Semua orang masih selamat selagi emak belum menghidupkan lampu itu. 

Share:

VISITORS

ABOUT US

ABOUT US
Please, allow me to show you something. Wrote you a letter, Now that I'm here without you. Hope that you're better, Hope that you found someone new 'Cause I'm getting older, Know that I've changed And I can't go back now. Nothing's the same But I won't forget how You called my name When I was afraid, And now I'm afraid. Will you remember me? Will you remember the way that I was? Will you remember me? Will you remember the way that you felt when you're next to me? Will you remember? Do you remember me? Do you remember? Will you remember me?

MY MUSIC

Recent Posts

Labels

Unordered List