Jeritan adik dari dalam bilik mandi segera menyegarkan mata aku yang masih mengantuk. Begitulah, adik memang banyak dramanya pada waktu pagi. Kesejukan air paip terasa hingga ke tulang. Kalau hujan, emak akan jerangkan air panas sekadar cukup untuk menyuamkan air mandian adik. Kami yang besar ini mandilah sahaja menggunakan air dingin di dalam kolah.
Emak menyediakan teh hangat. Hanya itu. Hanya itu yang dia dapat sediakan untuk mengisi perut anak-anaknya pagi itu. Kami berempat tidak membantah. Menghirup teh hangat dengan asap berkepul-kepul seperti itu sudah menjadi kebiasaan. Kalau emak ada rezeki lebih, adalah cucur tepung kosong yang emak goreng di atas meja berganding dengan teh hangat itu. Kadang-kadang, adunan tepung cucur itu mak campurkan sedikit ajinomoto dan garam, kadang-kadang kosong sahaja dan kami akan mencecahnya dengan gula.
Bedak sakura bertompok-tompok memutih pada dahi adik yang berkeringat. Rambutnya yang berkilat tersikat rapi ke pinggir dengan belahan jelas mendedahkan kulit kepalanya. Mereka berdua itu segak dan kemas setiap pagi, walau tiada siapapun yang mahu memberitahu tentang rambut mereka yang bertakuk-takak. Asalkan kemas, segak. Itu kata emak. Dialah yang memotong rambut budak berdua itu mengikut seleranya.
Si abang, Adnan namanya, berdiri di depan pintu menunggu aku. Usianya 7 tahun. Aku pula 8 tahun. Kami berdua bersekolah di sekolah rendah kampung, perlu berjalan kaki sejauh 2 kilometer untuk sampai ke sana setiap hari. Dia melambaikan tangan supaya aku bergerak lebih cepat.
“Cepat, kak! Nan kena sapu kelas pagi ni,” katanya.
Aku mengeluh. Teh panas yang kian sejuk kuhirup sekaligus. Beg sekolah semua sudah tersedia di depan pintu. Malam tadi sebelum tidur kami sudah menyusunnya di situ. Begitulah ajaran emak.
Sejak naik darjah satu, Adnan tidak mahu lagi berjalan berpimpin tangan. Malu, katanya. Dia dah besar. Giliran dia pula memimpin tangan adik-adik. Aku hanya mengikut kemahuannya dan berjalan diam-diam di sebelah. Bukan hanya kami yang berjalan kaki menuju ke sekolah. Suara budak-budak sekolah rendah itu riuh memenuhi halwa pagi. Ada yang berjalan ditemani oleh ibu, ada yang membonceng di belakang motorsikal yang membelah keramaian itu.
Beberapa ekor angsa milik orang kampung Tengah memekik bagai menyahut suara riuh dari bawah kolong rumah-rumah yang kami lintasi. Angsa itu muncul semakin banyak, 12 ekor semuanya. Adnan membesarkan langkah kaki dan memaksa aku mengikut separa berlari.
“Cepat, kak. Angsa ni kejar orang,” katanya, lalu berlari-lari anak mendekati kumpulan budak yang berjalan di hadapan. Melihat Adnan berlari, budak-budak itu pun ikut berlari. Mata mereka meliar mencari angsa-angsa besar itu. Aku akhirnya mengambil keputusan untuk berjalan saja. Aku lihat, angsa-angsa itu tidak berganjak dari bawah kolong. Mereka hanya berdiri mengawasi keadaan, bersedia untuk mengejar dan menyerang sesiapa sahaja yang dianggap mengancam kemananan kawanan itu.
Memasuki pekarangan sekolah, kami disambut oleh cikgu Bahar yang menyapa setiap orang dengan senyum lebar. Dia memegang sebatang pembaris kayu semeter yang dibawanya ke hulu ke hilir setiap hari. Selalunya, pembaris itu digunakan untuk melukis pada papan hijau ketika dia mengajar mata pelajaran seni. Kadang-kadang, hinggap juga batang pembaris itu pada bontot murid yang nakal kerana cikgu Bahar juga bertugas sebagai cikgu disiplin. Kesan kapur berwarna akan terlekat membirat pada seluar biru tua yang dipakai. Putih, hijau, biru, kuning, merah.
Adnan terus hilang di blok kelasnya setelah bersalam dan mencium tangan aku. Kami berpisah di persimpangan antara tapak perhimpunan dan surau. Kelas 2 Melati berada di hujung blok 2. Untuk sampai di sana, aku perlu melalui kelas 3 Teratai. Dalam kelas itu, ada kak Hamidah. Kak Hamidah anak kepada Pak Ngah. Orangnya tak banyak bercakap bila berjumpa. Dan aku pun tidak terlalu mahu berbual dengannya.
“Hoi, jom pegi kelas,”
Ismail, salah seorang murid lelaki dalam kelas aku menyapa sambil menepuk beg galas aku. Mukanya kecinaan seperti bapanya. Rambutnya berkilat, disikat terbelah bak dua buah gunung di banjaran. Bila tersenyum, lesung pipit melekuk dalam pada kedua-dua pipinya. Aku mengeluh. Aku melihat dia biasa-biasa sahaja. Tapi murid perempuan di sekolah ini menganggap Ismail sebagai jejaka pujaan. Di mana Ismail berdiri, di situ pasti ada yang akan mengikutinya.
“Waalaikumussalam, pak cik. Ayuh,”
Ismail ketawa mendengar jawapan itu. Nasib baik ada Ismail, kelas kak Hamidah dapat aku harungi dengan tenang.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
